PETALING JAYA: Penubuhan Suruhanjaya Guru perlu disegerakan dengan penglibatan semua pemegang taruh agar satu kerangka yang komprehensif dapat diwujudkan kerana dilihat mampu menjadi titik perubahan besar dalam landskap pendidikan negara.
Presiden Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Mohd Sobri Yusuf berkata, suruhanjaya ini diyakini mampu memperkukuh aspek tadbir urus, kebajikan, pembangunan kerjaya serta autonomi profesional guru.
Katanya, KGMMB melihat inisiatif ini selari dengan usaha berterusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam memastikan kebajikan guru sentiasa terpelihara, seterusnya mewujudkan persekitaran kerja yang kondusif dan berdaya saing.
“Data semasa jelas menunjukkan keberhasilan ini. Dalam sektor TVET, kadar kebolehpasaran graduan kolej vokasional mencapai 99.95 peratus pada tahun 2024, manakala 76.64 peratus bekerja dalam bidang berkaitan, membuktikan keberkesanan peranan guru dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang memenuhi keperluan industri.
“Di peringkat global, guru-guru KPM juga semakin menyerlah dari segi profesionalisme dengan penglibatan aktif dalam program dan pertandingan antarabangsa. Mereka bukan sahaja meningkatkan kompetensi diri, malah berjaya membimbing murid ke pentas dunia seperti pertandingan robotik di Korea dan lain-lain bidang inovasi.
“KGMMB berpandangan bahawa penubuhan Suruhanjaya Guru perlu disegerakan dengan penglibatan semua pemegang taruh agar satu kerangka yang komprehensif dapat diwujudkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, UMNO bersetuju dengan penubuhan Suruhanjaya Guru dilaksanakan bagi memperkasa profesion perguruan serta memastikan kebajikan warga pendidik kekal terpelihara.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, cadangan tersebut akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri dalam masa terdekat.
Katanya, guru memainkan peranan besar dalam membentuk generasi masa depan dan tidak seharusnya dilihat sekadar sebagai penyampai silibus semata-mata.-UTUSAN










