IPOH: Suspek kes bunuh seorang wanita warga emas di Persiaran Pegoh Aman 2, Taman Desa Aman di sini semalam, direman lima hari bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, siasatan terhadap suspek berusia 53 tahun yang juga jiran mangsa itu dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Katanya, tempoh tahanan reman terhadap suspek bermula hari ini sehingga Sabtu depan.
“Suspek ditahan di sekitar kawasan kejadian semalam. Semakan mendapati, lelaki itu pernah dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Februari lalu untuk rawatan psikitri,” katanya di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, seorang wanita warga emas berusia 70 tahun ditemukan dalam keadaan tidak bernyawa oleh anaknya di kediaman mereka di Taman Desa Aman.
Pemeriksaan oleh pasukan penyiasat ke atas mayat wanita itu mendapati terdapat beberapa kesan tetakan pada bahagian badan, leher dan kepala mangsa.
Susulan itu, seorang lelaki yang juga jiran wanita tersebut ditahan untuk siasatan lanjut selain polis menemui sebilah senjata iaitu parang yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut. – UTUSAN










