TOKYO: Jepun menerima penghantaran pertama stok minyak dari Russia sejak bekalan global terganggu akibat penutupan Selat Hormuz pada awal perang Iran, menurut laporan media.
Sebuah kapal tangki yang membawa minyak mentah daripada projek pembangunan gas asli Sakhalin-2 tiba di pesisir Imabari di barat Jepun pada Isnin, lapor TV Tokyo, akhbar Asahi Shimbun dan beberapa media lain, memetik pegawai tidak dinamakan daripada syarikat pemborong Taiyo Oil.
Jepun yang bergantung kepada Asia Barat untuk mendapatkan sekitar 95 peratus import minyaknya, berusaha mempelbagaikan sumber tenaga sejak perang tercetus pada 28 Februari dan menyebabkan Teheran menutup laluan Selat Hormuz secara efektif.
Projek di wilayah Sakhalin, Russia itu tidak tertakluk kepada sekatan ekonomi global terhadap Moscow yang dikenakan selepas pencerobohan ke atas Ukraine pada 2022.
Taiyo Oil menerima permintaan daripada kementerian ekonomi untuk menerima minyak tersebut, menurut laporan itu.
Minyak mentah tersebut dijangka dihantar ke kilang penapisan untuk diproses menjadi petrol nafta yang digunakan untuk menghasilkan pelbagai produk seperti plastik, gentian kimia dan cat serta produk petroleum lain.
Pegawai syarikat berkenaan tidak dapat dihubungi untuk mengesahkan laporan tersebut.
“Krisis bekalan minyak global kini memberi kesan yang besar kepada rantau Asia-Pasifik,” kata Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi pada Isnin di Canberra selepas pertemuan dengan Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese.
Katanya, Jepun dan Australia akan bertindak segera untuk memastikan bekalan tenaga yang stabil.
Sekitar satu perlima minyak dunia biasanya melalui Selat Hormuz, dan penutupannya telah menyebabkan harga minyak melonjak.
Takaichi berkata minggu lalu, Tokyo dijangka mempunyai bekalan produk kimia berasaskan nafta yang mencukupi sehingga akhir tahun selepas meningkatkan import dari luar Asia Barat.-AFP










