Pusat kompetensi EV, solar, latih bakat tenaga mahir muda kuasai teknologi hijau

Pusat kompetensi EV, solar, latih bakat tenaga mahir muda kuasai teknologi hijau

Pas
AMIRUDIN SHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: : Pusat kompetensi kenderaan elektrik (EV) dan solar yang dibangunkan di Shah Alam, dilihat mampu menjadi pemangkin penting dalam memperkasa agenda Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) tenaga boleh baharu di Selangor.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pusat berkenaan yang dinamakan Autotronics Centre of Excellence (Autotronics) telah mendapat akreditasi Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dan Sustainable Energy Development Authority (SEDA).

Katanya, inisiatif pembinaan pusat itu bukan sahaja menyokong usaha peralihan tenaga negara, tetapi sebagai ruang untuk golongan muda menceburi bidang pekerjaan berkemahiran tinggi dalam sektor teknologi hijau.

“Program seperti ini memberi peluang kepada anak muda meningkatkan taraf hidup melalui penguasaan kemahiran teknikal yang relevan.

“Ia bukan sekadar angka penyertaan, sebaliknya melambangkan peluang baharu untuk mereka membina masa depan lebih terjamin melalui pendidikan dan latihan kemahiran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu Amirudin berkata, keupayaan sesebuah negara dalam menjayakan peralihan tenaga tidak hanya bergantung kepada teknologi yang dibawa masuk, tetapi turut memerlukan tenaga kerja tempatan yang berkemahiran dan berkelayakan.

“Kita mungkin mampu mendapatkan teknologi canggih, namun tanpa tenaga kerja yang berkeupayaan mengendali dan menyelenggara, pelaburan tersebut tidak akan memberikan pulangan optimum,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan Selangor akan terus memacu pelaksanaan inisiatif tenaga boleh baharu dan penggunaan EV sejajar dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

Katanya, hasrat untuk menjadikan Selangor sebagai hab serantau bagi teknologi bersih memerlukan sokongan berterusan terhadap pembangunan TVET hijau.

Tambah beliau, kejayaan Autotronics juga membuktikan keberkesanan kerjasama antara sektor awam dan swasta, termasuk Kementerian Sumber Manusia serta Kementerian Pendidikan Tinggi dalam melahirkan tenaga kerja berkualiti.

“Kerjasama seperti ini perlu diperluaskan supaya sektor swasta turut memainkan peranan dalam membangunkan bakat tempatan,” katanya.

Autotronics yang beroperasi di Subang 2, Shah Alam menyediakan pelbagai fasiliti moden termasuk makmal EV dan hibrid, makmal sistem solar fotovoltaik (PV) serta kemudahan diagnostik bateri EV mengikut piawaian industri.

Sehingga kini, pusat berkenaan telah melahirkan lebih 1,000 graduan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dalam bidang EV selain lebih 1,500 juruteknik bertauliah di bawah Institute of the Motor Industry (IMI), United Kingdom (UK).-UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN