LUMUT: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sedang berusaha mencari alternatif lain bagi menggantikan sistem peluru berpandu antikapal (NSM) dari Norway untuk melengkapkan kapal tempur pesisir (LCS).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, usaha itu penting bagi memastikan kapal berkenaan dapat dilengkapi dengan sistem persenjataan seperti yang telah dirancang sebelum ini.
“Itu biar TLDM (cari). Kita percaya pilihan terbaik adalah sistem yang selari dan boleh berintegrasi dengan sistem tempur serta melibatkan negara yang bersedia memindahkan teknologi kepada Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja ke Lumut Naval Shipyard (LUNAS) di Pangkalan TLDM Lumut, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Dr. Zulhelmy Ithnain dan Ketua Pegawai Eksekutif LUNAS, Ir Azhar Jumaat.
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, pemilihan sistem baharu itu juga perlu mengambil kira kekangan sedia ada memandangkan kapal LCS telah siap dibina.
Katanya, keadaan itu menyebabkan pilihan yang ada agak terhad dan kerajaan perlu memastikan proses penggantian dapat dilaksanakan dengan cepat dan berkesan.
“Kadang-kadang ada negara yang nampak seperti kawan ketika mahu menjual peralatan, tetapi selepas urusan pembelian selesai, sikap mereka mungkin berubah.
“Semua itu akan diambil kira, namun pokoknya sekarang kita terikat dan mungkin terhad dari segi pilihan kerana kapal sudah siap. Jadi kita perlu cari sistem yang benar-benar boleh dilaksanakan penggantiannya dengan segera,” katanya.
Dalam perkembangan sama beliau berkata, isu yang berlaku itu turut meningkatkan komitmen kerajaan untuk memperkukuh industri pertahanan tempatan sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada pembekal luar.
Katanya, pembinaan kapal LCS ketika ini menunjukkan perkembangan positif apabila kira-kira 30 peratus komponennya menggunakan produk tempatan.
“Saya gembira untuk menyatakan bahawa dalam kita membina kapal LCS, 30 peratus komponen datangnya daripada tempatan. Ini sesuatu yang sangat baik.
“Pada masa akan datang, sekiranya LUNAS dapat meningkatkan lagi penggunaan komponen tempatan, mungkin lebih banyak projek TLDM dapat diserahkan kepada syarikat itu,” katanya. – UTUSAN










