PUTRAJAYA: Biro Pendidikan Perpaduan Putrajaya meneruskan tradisi menyantuni warga pendidik sempena Hari Guru apabila mengagihkan 29 biji kek kepada semua sekolah di sekitar Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan hari ini.
Ketua Biro Pendidikan Perpaduan Putrajaya, Datuk Mohd Hisamudin Yahaya berkata, program ini telah memasuki tahun keempat yang dimulakan sejak beliau mengambil alih biro berkenaan empat tahun lalu.
Beliau berkata, pemberian itu sebagai simbol penghargaan kepada semua guru yang selama ini berkhidmat mendidik anak bangsa.
“Kami telah menghantar 29 biji kek ke semua sekolah di Putrajaya sebagai simbol bahawa kami menghargai jasa guru-guru di Putrajaya,” katanya ketika ditemui selepas mengagihkan kek berkenaan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 14(1), di sini hari ini.

Katanya, penghargaan ini bukan hanya tertumpu ketika sambutan Hari Guru semata-mata, sebaliknya pelbagai program pendidikan turut dirancang sepanjang tahun termasuk Program Menggilap Bintang, Program Kecemerlangan dan Hari Restu Ilmu bagi calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Katanya, Program Menggilap Bintang memberi tumpuan kepada pelajar yang lemah manakala program kecemerlangan pula disasarkan kepada pelajar berpotensi memperoleh keputusan cemerlang.
Jelasnya lagi, pihaknya juga sentiasa membantu pihak sekolah dan pelajar dari keluarga asnaf yang memerlukan sejak beliau mengambil alih biro berkenaan empat tahun lalu. – UTUSAN










