MEXICO CITY: Julian Quinones berpeluang mengukuhkan status sebagai wira baharu Mexico apabila dijangka menjadi ancaman terbesar England dalam aksi pusingan 16 terbaik Piala Dunia 2026 di Stadium Azteca, esok.
Penyerang berusia 29 tahun itu tampil luar biasa dengan tiga gol dan satu bantuan jaringan dalam empat perlawanan, sekali gus muncul pemain Mexico paling banyak terlibat dalam jaringan pada satu edisi Piala Dunia sejak Luis Hernandez melakukannya pada 1998.
Lahir di Magui Payan, Colombia sebelum berhijrah ke Mexico ketika berusia 17 tahun, Quinones memilih menyarung jersi El Tri selepas memperoleh kerakyatan negara itu meskipun pernah mewakili Colombia di peringkat remaja.
“Mexico menjadikan saya seorang insan yang lebih baik dan menerima saya dengan tangan terbuka ketika melalui pelbagai cabaran dalam hidup sehingga saya sentiasa berasa terhutang budi kepada negara ini.
“Saya sentiasa berjuang untuk keluarga dan setiap peluang yang diberikan kerana semua kesukaran yang pernah saya lalui menjadi sumber kekuatan untuk terus melangkah ke hadapan,” katanya.
Ketajaman Quinones bukan sesuatu yang mengejutkan apabila dia meledak 33 gol untuk muncul penjaring terbanyak Liga Pro Saudi musim lalu mengatasi Ivan Toney dan Cristiano Ronaldo sebelum meneruskan rentak sama di pentas Piala Dunia.
Kini, pemain Al-Qadsiah itu menjadi sandaran utama Mexico bersama Raul Jimenez dalam usaha menamatkan kemarau mara ke suku akhir Piala Dunia sejak edisi 1986, selain dijangka menguji benteng kanan England yang masih belum menemui kombinasi paling ampuh.
“Saya yakin kami mampu pergi lebih jauh kerana pasukan ini lengkap, kompetitif dan semua pemain percaya kami mampu mencapai sesuatu yang istimewa dalam kejohanan ini,” katanya. – AGENSI










