KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner hari ini diberitahu mengenai pelbagai kesan kecederaan dan lebam yang ditemui pada tubuh Allahyarham Zara Qairina Mahathir ketika menerima rawatan serta semasa proses pengurusan jenazah di Hospital Queen Elizabeth (HQE), di sini, pada 17 Julai tahun lalu.
Perkara terbabit didedahkan saksi inkues kematian Zara Qairina, Nur Shira Abdullah, 46, yang juga kakak ipar kepada ibu arwah, Noraidah Lamat, di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Dalam keterangan bertulisnya, Nur Shira berkata, beliau melihat sendiri keadaan fizikal arwah dari bahagian kepala hingga kaki selain menerima penjelasan daripada doktor mengenai kecederaan dialami Zara Qairina.
Katanya, terdapat bahagian rambut di kepala arwah yang dicukur namun tiada kesan luka terbuka besar atau jahitan dilihat.
“Pada bahagian kepala sebelah kiri berhampiran kawasan rambut yang dicukur, apabila disentuh, saya merasakan keadaan seperti lembik dan berair di bahagian dalam kepala.
“Saya juga melihat kesan lebam yang jelas pada bahagian belakang badan terutama di kawasan rusuk dalam bentuk garis panjang dari pinggang hingga ke bahu selain berwarna biru kehitaman,” katanya di mahkamah, hari ini.
Menurutnya, terdapat juga kesan lebam halus seperti urat menjalar di belakang badan manakala tangan dan kaki kiri arwah dibalut pihak hospital selain tubuh Zara kelihatan kekuningan.
Katanya, beliau tidak melihat tulang kaki terkeluar secara luaran namun mendapati keadaan buku lali arwah seperti terkehel.
Nur Shira yang menetap di Kuala Lumpur berkata, beliau dimaklumkan Noraidah mengenai insiden menimpa Zara Qairina menerusi aplikasi WhatsApp sekitar pukul 10.20 pagi pada 16 Julai tahun lalu sebelum segera membeli tiket penerbangan ke Kota Kinabalu.
Katanya, ketika berada di hospital, seorang doktor wanita yang bertugas di wad memaklumkan mengenai keadaan kecederaan Zara Qairina berdasarkan laporan perubatan.
“Doktor menjelaskan terdapat kecederaan serius pada bahagian kepala, kerosakan teruk pada tengkorak dan keadaan otak yang tidak lagi berfungsi.
“Doktor juga memaklumkan kemungkinan berlaku kerosakan pada saraf tunjang belakang akibat impak kuat selain patah tulang dan kecederaan pada buku lali kiri,” katanya.
Tambahnya, doktor turut menjelaskan kemungkinan berlaku pendarahan dalaman yang serius sehingga menyebabkan kegagalan fungsi organ.
Menurut Nur Shira, doktor berkenaan turut memaklumkan prosedur bantuan pernafasan kecemasan (CPR) dan penggunaan mesin kejutan elektrik jantung tidak dapat dilakukan kerana keadaan pesakit yang terlalu kritikal.
Katanya, keadaan pembengkakan yang teruk menyebabkan prosedur berkenaan tidak sesuai dilakukan dan tidak memberi manfaat kepada pesakit ketika itu.
Sementara itu, Nur Shira berkata, sebaik tiba di HQE pada 17 Julai tahun lalu, beliau melihat Zara Qairina dalam keadaan tidak sedarkan diri dan kritikal sebelum dimaklumkan doktor bahawa arwah berada dalam keadaan ‘mati otak’.
“Zara dipantau menggunakan mesin bantuan pernafasan dan mesin pemantauan jantung.
“Bagaimanapun, kira-kira pukul 1 tengah hari, mesin pemantauan jantung terpadam secara tiba-tiba dan saya terus memaklumkan perkara itu kepada jururawat.
“Jururawat kemudian datang memeriksa keadaan tersebut dan memaklumkan pemantauan akan dilakukan dari kaunter depan.
“Doktor ada datang memeriksa Zara namun tidak memberikan penjelasan khusus ketika itu,” katanya. – UTUSAN







