BN serah isu Rafizi, Nik Nazmi letak jawatan kepada PKR - Utusan Malaysia

BN serah isu Rafizi, Nik Nazmi letak jawatan kepada PKR

ZAMBRY Abd. Kadir (dua dari kiri) merasmikan Program Kembara Pendidikan Tinggi@Terengganu dan Program Kampung Angkat Madani di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Menerong, Hulu Terengganu, Terengganu. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU TERENGGANU: “Atas sebab apa pun yang berlaku dalam parti mereka, biarlah mereka selesaikan.”

Demikian kata Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Zambry Abd. Kadir berhubung tindakan bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli dan bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad mengosongkan kerusi di Parlimen masing-masing sebelum mengumumkan keluar PKR.

Menurut beliau, BN tidak mencampuri urusan dalaman PKR susulan tindakan berkenaan, sebaliknya menyerahkan kepada parti itu untuk menyelesaikan kemelut mereka sendiri.

Katanya, tidak wajar beliau mengulas lanjut mengenai perkara itu kerana ia melibatkan parti lain.

“Saya bukan daripada parti mereka. Saya daripada BN dan peletakan jawatan itu adalah hak mereka berdua berikutan pergolakan serta perselisihan yang mungkin berlaku dalam parti mereka,” katanya selepas Majlis Peluncuran Program Kembara Pendidikan Tinggi@Terengganu dan Penyerahan Kampung Angkat Madani Universiti Malaysia Terengganu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Menerong di sini, hari ini.

Ketika ditanya sama ada situasi itu memberi kelebihan kepada BN, beliau sekali lagi memilih untuk tidak mengulas.

“Perkara itu kita tak boleh nak komen. Ini masalah mereka pada masa ini, biarlah mereka selesaikan,” katanya.

Terdahulu, Rafizi  dan Nik Nazmi dilapor mengosongkan kerusi Parlimen Pandan dan Setiawangsa serta meninggalkan PKR. Mereka secara rasmi menghantar surat pemakluman peletakan jawatan masing-masing sebagai Ahli Parlimen kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

Menurut mereka, keputusan itu dibuat susulan hasrat untuk meneroka agenda politik baharu, selain akan kembali bertanding di kedua-dua kerusi tersebut menggunakan platform Parti Bersama Malaysia (Bersama) pada pilihan raya akan datang. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN