TAIPING: Tidak wujud sebarang pengkhianatan berikutan keputusan UMNO untuk bertanding secara solo dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang tanpa kerjasama Pakatan Harapan (PH).
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan berkata, ini kerana kerajaan negeri Johor yang dibentuk pada Mac 2022 sebelum wujudnya Kerajaan Perpaduan.
Menurutnya, perkara itu sama seperti kerajaan negeri Melaka dan Sarawak yang wujud sebelum kerjasama Barisan Nasional (BN) dan PH yang membentuk Kerajaan Perpaduan.
“Tidak timbul soal pengkhianatan kerana ketika BN menang 40 daripada 56 kerusi DUN di Johor, ketika itu Kerajaan Perpaduan masih belum wujud.
“Kami menang ketika itu bukan atas nama Kerajaan Perpaduan, oleh itu tiada khianat. Siapa khianat siapa? Lainlah kalau kami menang dibantu oleh PH, tetapi ia tidak berlaku.
“Sebaliknya pada masa itu kita berlawan dengan PH, jadi kami menang atas kekuatan BN pada masa itu, jadi tidak timbul hal-hal khianat. Tak betul mereka tuduh UMNO khianat, sudut pandangan politik itu salah, sebabnya kita belum bersama (dalam Kerajaan Perpaduan) ketika kita menang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Lawatan dan Mesyuarat Pemantauan Projek Pembinaan Infra Rakyat Kementerian Pelanggan Bilangan 2 Tahun 2026 di Bangunan Stor Farmasi Logistik dan Farmasi Steril Hospital Taiping di sini hari ini.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Johor berkata, keputusan UMNO bertanding solo pada PRN Johor turut dipengaruhi suara akar umbi parti itu hasil siri pertemuan kepimpinan negeri bersama 26 bahagian UMNO di seluruh Johor.
Katanya, beliau bersama Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Setiausaha Perhubungan UMNO Johor, Datuk Abdul Halim Suleiman turun padang dalam program penaziran bagi mendapatkan pandangan langsung daripada kepimpinan bahagian.
“Majoriti akar umbi yang kami temui menyatakan keinginan untuk BN bergerak secara solo. Saya sendiri sudah pergi ke 18 daripada 26 bahagian.
“Sentimen akar umbi tersebut menjadi antara faktor utama pertimbangan hala tuju politik UMNO Johor, selain keyakinan yang dibina hasil kemenangan besar BN pada PRN Johor sebelum ini,” katanya. – UTUSAN










