Anak bekas MB Perlis dilepas dan dibebaskan pertuduhan tuntutan palsu lebih RM19,000

Anak bekas MB Perlis dilepas dan dibebaskan pertuduhan tuntutan palsu lebih RM19,000

MOHD. Syafeeq Mohd. Shukri (dua dari kanan) dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu di Kompleks Mahkamah Kangar, Perlis hari ini. - UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Anak bekas Menteri Besar Perlis, Mohd Syafeeq Mohd. Shukri, 37, dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan membuat tuntutan palsu berjumlah RM19,505.10 berkaitan perkhidmatan menyediakan minuman untuk kegunaan Raja Perlis di Hospital Tuanku Fauziah (HTF).

Hakim, Datuk Nu’aman Mahmud Zuhudi membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie pada akhir pendakwaan kes itu.

Semasa penghakiman, Nu’aman berkata, terdapat dua isu utama dinilai oleh pihak mahkamah sepanjang perbicaraan iaitu membabitkan keterangan dan pengesahan saksi terhadap bahan bukti kes serta penentuan sama ada orang kena tuduh (OKT) merupakan seorang ejen.

“Oleh demikian, setelah meneliti keterangan semua pihak, tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan tanpa dipanggil semula untuk membela diri dengan wang jaminan turut dikembalikan,” katanya. 

Difahamkan pihak pendakwaan juga akan mengemukakan notis rayuan dalam tempoh 14 hari bagi semakan keputusan kes berkenaan. 

Sementara itu, peguam tertuduh, Mohd Fadhly Yaacob, berkata pihaknya bersyukur dengan keputusan itu sekaligus dapat membersihkan nama anak guamnya dan bekas Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli. 

Seramai 11 saksi pendakwaan juga telah dipanggil bagi memberi keterangan sepanjang tempoh kes tersebut. 

“Yang penting, semua saksi-saksi telah memberi keterangan cukup meyakinkan kepada mahkamah tentang fakta-fakta dan isu serta mahkamah juga telah mempertimbangkan semua isu-isu, fakta-fakta dan juga undang-undang,” katanya. 

Utusan Malaysia pada Mei 2024 melaporkan Mohd. Syafeeq didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan membuat tuntutan palsu berjumlah RM19,505.10 berkaitan perkhidmatan menyediakan minuman untuk kegunaan Raja Perlis di HTF. 

Mengikut kertas pertuduhan, Mohd. Syafeeq didakwa memberikan satu dokumen kepada seorang ejen yang bertugas sebagai Pembantu Tadbir di Bahagian Pentadbiran Daerah, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dengan niat untuk memperdayakan prinsipalnya.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN