PETALING JAYA: Titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bukanlah campur tangan politik sebaliknya merupakan nasihat, teguran dan pandangan yang lahir daripada tanggungjawab baginda untuk memastikan kestabilan dan keharmonian.
Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, dalam tradisi Raja Berperlembagaan yang diamalkan, ‘titah’ adalah peringatan yang lahir daripada kebijaksanaan institusi Raja demi kebaikan negeri dan rakyat keseluruhannya.
Katanya, ia bukanlah satu perintah (decree) seperti yang disalah tafsir oleh segelintir pemimpin politik.
“Oleh itu, titah Sultan Selangor harus dilihat dalam semangat yang lebih luas iaitu memperkukuhkan perpaduan dan menyatukan masyarakat majmuk Malaysia dalam suasana dunia yang semakin mencabar dan tidak menentu.
“Apa yang dizahirkan Tuanku bukan sekadar mengenai perpaduan orang Melayu semata-mata, tetapi bagaimana kekuatan Melayu dan Islam itu sendiri perlu menjadi tiang seri kepada kestabilan negara yang turut melindungi kepentingan semua kaum dan agama,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Tengku Zafrul membuat hantaran itu selepas Sultan Selangor berkenan menerima mengadap beliau semalam.
Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, dalam sejarah tamadun Islam sendiri membuktikan bahawa kegemilangan sesuatu peradaban tidak dibina atas perpecahan atau kebencian, tetapi melalui kekuatan ilmu, keadilan, kestabilan dan kemampuan untuk merangkul kepelbagaian ragam.
Katanya, semua pihak harus memahami dan menginsafi hakikat bahawa dalam sebuah masyarakat majmuk seperti Malaysia, memperjuangkan kepentingan sesuatu kaum tidak boleh dilakukan dengan meminggirkan kaum yang lain.
Tambahnya, kekuatan sebenar sebuah negara bukan terletak pada siapa yang paling lantang, tetapi pada kemampuan rakyatnya untuk hidup bersama dalam suasana saling hormat menghormati dan mempercayai antara satu sama lain.
“Seperti titah Tuanku, kita harus mengambil iktibar daripada kegemilangan tamadun Islam Uthmaniyah, di mana kekuatan mereka lahir daripada kemampuan membina sebuah tamadun yang inklusif, stabil dan membuka ruang kepada masyarakat berbilang latar belakang untuk hidup serta menyumbang ke arah kejayaan dan kemakmuran bersama.
“Justeru, titah Tuanku harus dilihat sebagai seruan untuk merapatkan saf rakyat, memperkukuhkan keharmonian dan menjauhkan negeri serta negara daripada budaya politik yang memecah-belahkan masyarakat demi menjayakan agenda sempit.
“Janganlah ada segelintir pihak yang mengambil kesempatan mempolitikkan isu ini sehingga mengeruhkan hubungan antara pemimpin serta menjejaskan keharmonian rakyat di Selangor,” katanya.-UTUSAN










