SETIU: Demi minat mendalam menjadi seorang usahawan, seorang bekas guru dari Kampung Banggol di sini, bertekad meninggalkan kerjayanya dengan menceburi bidang pembuatan arang tempurung.
Mohd. Hamiz Zahiruddin Zahari, 31, berkata, hampir setahun berkhidmat sebagai pendidik di sebuah sekolah swasta, dia melepaskan kerjaya itu demi menggapai impiannya.
Katanya, dia mula menceburi bidang tersebut pada 2018 setelah tertarik melihat proses pembuatannya di Kuala Selangor, Selangor dan mengambil inisiatif menuntut ilmu pembuatan arang.
“Pada awalnya saya takut memulakan sesuatu di luar bidang kemahiran tetapi dengan dorongan bapa, Zahari Idris, 61, membuatkan saya semakin yakin dengan kemahuan diri sendiri.
“Saya membuat kerja-kerja pembuatan arang bermula dari proses awal demi mempraktikkan ilmu yang diajar oleh golongan lebih berpengalaman,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Mohd. Hamiz Zahiruddin berkata, usahanya itu membuahkan hasil apabila kini dia mampu mengeluarkan kira-kira lima tan metrik arang tempurung dalam tempoh seminggu untuk memenuhi permintaan semasa.
Katanya, kekurangan pengusaha arang tempurung di daerah ini turut membuka peluang besar untuknya. “Arang itu digunakan untuk memasak dan juga arang hookah (arang syisya),” katanya. – UTUSAN










