Tindakan ADUN Bersatu Negeri Sembilan tarik balik SD langgar setia kawan - Presiden Pas

Tindakan ADUN Bersatu Negeri Sembilan tarik balik SD langgar setia kawan – Presiden Pas

ABDUL Hadi Awang menyampaikan kuliah duha di Masjid Rusila, Marang, Terengganu. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

​MARANG: Pas menyifatkan tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Negeri Sembilan yang menarik balik Akuan Bersumpah (SD) sokongan terhadap pembentukan kerajaan negeri itu sebagai satu langkah yang melanggar prinsip setia kawan.

Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan telah menghantar surat kepada Bersatu bagi menyatakan bantahan berhubung tindakan mengejut wakil rakyat mereka itu.

​Katanya, Pas mempunyai tiga kerusi manakala Bersatu memiliki dua kerusi di Negeri Sembilan yang mana jika dicampurkan dengan 14 kerusi daripada UMNO, gabungan itu sudah mempunyai jumlah yang cukup iaitu 19 kerusi untuk menyatakan kepercayaan kepada kerajaan negeri.

​”Tetapi tiba-tiba Bersatu menarik balik SD tersebut dan membatalkannya. Kita menganggap ini sebagai satu langkah yang melanggar setia kawan antara kita. Alasan-alasan mereka itu tidak boleh diterima.

“Mengapa Bersatu menarik balik sedangkan UMNO pun tidak menarik balik?” katanya dalam sidang akhbar selepas menyampaikan kuliah duha di Masjid Rusila di sini, hari ini.

Terdahulu, ​kemelut politik di Negeri Sembilan menyaksikan dua ADUN Bersatu iaitu ADUN Gemas, Ridzuan Ahmad dan ADUN Labu, Mohamad Hanifah Abu Baker mengambil pendirian berkecuali.

​Ridzuan menjadi wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) pertama mengumumkan pendirian itu atas alasan mahu mengekalkan kestabilan politik manakala Mohamah Hanifah menyusul dengan menegaskan sebarang perubahan pentadbiran harus dikembalikan kepada mandat rakyat melalui pilihan raya.

Abdul Hadi berkata, tindakan tersebut bukan kali pertama dilakukan oleh Bersatu yang dilihat tidak menghormati semangat setia kawan dalam gabungan PN.

​”Sebelum ini, mereka (Bersatu) telah bertindak di Perlis dengan menyokong usul tidak percaya terhadap Menteri Besar kita di Perlis. Walaupun mereka bertindak begitu, kita telah memberikan kepercayaan sepenuhnya kepada mereka dan kita masih bersabar demi keutuhan PN.

​”Apabila perkara ini berlaku lagi, kita akan mengkaji dan berbincang dengan pimpinan Perlis mengenai tindakan selanjutnya. Apabila mereka tidak menghormati PN, apa lagi yang boleh kita katakan?” katanya.

Mengenai cadangan sesetengah pihak yang mahu merombak pentadbiran di Kedah dan Kelantan membabitkan kedudukan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) di Kedah serta jawatan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) di kedua-dua negeri berkenaan, beliau berkata, Pas menolak cadangan merombak pentadbiran sedia ada memandangkan prestasi semua individu yang memegang jawatan tersebut berada pada tahap yang baik. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN