Tiga beradik miskin mula bersekolah

Tiga beradik miskin mula bersekolah

NURUL Adawiyah Zaharon dan adiknya, Mohamad Adam Zaharon mula bersekolah di Sekolah Kebangsaan Chikus di Pasir Salak. – UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR SALAK: Tiga beradik di Kampung Parit 8, Chikus, Langkap di sini yang tidak bersekolah kerana kemiskinan sudah memulakan persekolahan semalam.

Mereka ialah Nurul Adawiyah Zaharon, 12, dan Mohamad Adam Zaharon, 9, masing-ma­sing di Tahun 6 dan Tahun 3 di Sekolah Kebangsaan Chikus manakala Mohammad Safuan Azhar, 15, di Tingkatan 3 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Manik.

Kemasukan mereka ke sekolah dengan bantuan pelbagai pihak termasuk Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Pejabat Pendidikan Daerah Hilir Perak dan UMNO Bahagian Pasir Salak.

Naib Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak, Mohd. Nazari Sabran mengucapkan terima kasih kepada MAIPk dan PPD serta lain-lain pihak yang membantu tiga beradik itu bersekolah.

Katanya, tiga beradik itu masih menyesuaikan diri untuk bersekolah.

“Hari ini (semalam) hari kedua mereka bersekolah dan mereka datang lebih awal berbanding hari sebelumnya.

“Semalam (kelmarin) agak terlewat juga tapi syukur Alhamdulillah atas usaha dan kerjasama daripada pihak sekolah maka anak-anak ini bersekolah untuk hari kedua,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Pihaknya sentiasa memberikan kerjasama, khususnya dalam aspek pembayaran yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), yuran sekolah dan ke­perluan pembelajaran seperti peralatan, buku dan pakaian.

Tiga beradik itu turut mene­rima sumbangan basikal daripada Baitulmal bagi memudahkan mereka berulang-alik ke sekolah.

“Saya harap masyarakat lebih cakna dan sedar bahawa pendidikan amat penting. Jika ada anak-anak yang tercicir atau tidak bersekolah, segera maklumkan kepada pihak berwajib supaya tindakan dapat diambil. Jangan tunggu dan jangan biarkan mereka terus tercicir kerana masa depan anak-anak bergantung kepada pendidikan,” katanya.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan kisah tiga beradik yang tidak dapat bersekolah akibat kesempitan hidup. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN