Tidak wajar terima parti Hamzah masuk PN

Tidak wajar terima parti Hamzah masuk PN

PN PRN Sabah
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Cadangan memasukkan parti dikaitkan Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai komponen Perikatan Nasional (PN) dilihat menguji hubungan Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan kestabilan gabungan itu menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Penganalisis politik Dr. Iskandar Hassan Tan Abdullah berkata langkah itu boleh menimbulkan ketidakpercayaan antara Pas dan Bersatu, terutama dalam isu pembahagian kerusi dan strategi menghadapi pilihan raya akan datang.

Katanya, kemasukan parti Hamzah itu secara rasmi ke dalam PN boleh membuka ruang kepada perebutan kerusi dengan Bersatu, sekali gus mencetuskan pertembungan sesama sendiri dalam kawasan pilihan raya.

“Situasi ini boleh membawa kepada perpecahan undi dalam kalangan penyokong PN yang akhirnya menjejaskan peluang gabungan itu dalam PRU16,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pendekatan lebih selamat adalah dengan menjadikan parti berkenaan sebagai sekutu luar, bukannya komponen rasmi dalam PN.

Iskandar berkata, langkah itu mampu mengurangkan risiko konflik dalaman dan memberi ruang kepada penyusunan kerusi lebih strategik tanpa menjejaskan kuota parti sedia ada.

Katanya, peranan Pas sebagai peneraju PN kini menjadi semakin kritikal dalam menentukan bentuk kerjasama politik tersebut.

“Jika tidak ditangani dengan cermat, Pas berdepan risiko dilabel ‘main dua kolam’, terutama sekiranya parti Hamzah diterima masuk ke dalam PN.

“Persepsi itu boleh dielakkan sekiranya parti tersebut hanya berperanan sebagai sekutu dan disusun di bawah platform seperti Gagasan Sejahtera,” katanya.

Iskandar Hassan berkata, melalui pendekatan ini, Pas boleh mengimbangi hubungan antara parti dalam PN tanpa mencetuskan ketegangan terbuka, selain memastikan strategi menghadapi PRU16 berjalan lebih tersusun.

Katanya, keutamaan ketika ini adalah memperkukuh keyakinan rakyat terhadap PN dan memastikan hubungan antara parti dalam gabungan itu kekal stabil bagi menghadapi persaingan pilihan raya akan datang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN