PN harap SPRM lebih telus, adil di bawah kepimpinan Abdul Halim

PN harap SPRM lebih telus, adil di bawah kepimpinan Abdul Halim

TAKIYUDDIN HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) menyifatkan pelantikan Datuk Seri Abdul Halim Aman sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mampu membawa harapan baharu ke arah memperkukuh integriti, ketegasan dan profesionalisme agensi itu.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pengalaman Abdul Halim dalam bidang kehakiman dan perundangan turut mewujudkan jangkaan bahawa SPRM akan dipimpin dengan lebih bebas dan adil berteraskan prinsip kedaulatan undang-undang.

Katanya, perkara itu penting selepas agensi berkenaan berdepan pelbagai dakwaan dan publisiti yang dipersoalkan di bawah kepimpinan terdahulu.

“Pelantikan ini perlu dilihat lebih daripada sekadar pertukaran individu di peringkat kepimpinan. Ia perlu menjadi titik permulaan kepada usaha menyeluruh untuk memulihkan keyakinan rakyat terhadap SPRM sebagai institusi yang benar-benar bebas, berwibawa dan bertaraf dunia.

“Rakyat tentunya mahu melihat siasatan dijalankan tanpa memilih bulu, campur tangan politik atau layanan berbeza berdasarkan kedudukan, pengaruh atau kepentingan tertentu yang jelas menghakis kepercayaan rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Takiyuddin berkata, kes berprofil tinggi serta isu ketidakcekapan atau salah laku yang melibatkan kepentingan awam hendaklah disiasat secara telus, profesional dan disusuli tindakan sewajarnya.

Katanya, kerajaan juga perlu mempertimbangkan langkah memperkukuh mekanisme semak dan imbang, meningkatkan ketelusan proses pelantikan, memperkasa perlindungan pemberi maklumat, menambah baik keupayaan teknologi serta kepakaran forensik kewangan.

“Akauntabiliti menyeluruh berkaitan SPRM juga perlu dipastikan agar setanding agensi antirasuah terbaik dunia.

“Rakyat menuntut hasil nyata dalam usaha memerangi rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang menjadi barah kepada negara sejak sekian lama.

“Justeru, PN akan terus menyokong usaha tulen membanteras rasuah termasuk cadangan meletakkan SPRM di bawah kawalan terus Parlimen, selain menyambut baik reformasi institusi yang jujur dan berani demi kepentingan negara,” katanya.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim memperkenankan pelantikan Abdul Halim sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM berkuat kuasa pada 13 Mei ini.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, cadangan pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu itu telah dipersembahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Yang di-Pertuan Agong semalam.

Katanya, pelantikan tersebut dibuat selaras dengan Subseksyen 5(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta 694]. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN