PETALING JAYA: Bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin dilihat berpotensi menjadi penghubung penting antara parti-parti yang memperjuangkan perpaduan dan penyatuan ummah, susulan pengaruh besar dimilikinya dalam landskap politik negara.
Penyelaras RESET Wilayah Persekutuan, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin berkata, kelebihan itu wajar dimanfaatkan Pas dengan mempertimbang untuk menerima Hamzah sebagai sebahagian kekuatan dalam Perikatan Nasional (PN) menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Katanya, penyertaan tokoh berpengaruh seperti Hamzah, mampu memperkukuh blok pembangkang dan menarik sokongan lebih luas merentasi kaum dan latar masyarakat.
“Pengaruh Hamzah bukan sahaja dalam partinya, malah turut dihormati pelbagai pihak dalam politik negara, sekali gus berupaya menjadi penghubung ke arah kestabilan politik yang lebih inklusif,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Februari lalu, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memecat keahlian Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, keputusan itu diputuskan Lembaga Disiplin seiring Fasal 22.5 perlembagaan parti dan berkuat kuasa 13 Februari lalu kerana tindakan beliau melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan Bersatu.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan turut mengesahkan Hamzah menghantar surat peletakan jawatan kepada Pengerusi gabungan itu, Datuk Seri Dr. Ahmad Shamsuri Mokthar.
Muhamad Muqharabbin berkata, Hamzah dilihat sebagai Ketua Pembangkang dan bekas menteri yang mempunyai pengalaman luas, mampu menyumbang idea, kepimpinan dan dinamika baharu dalam menghadapi cabaran ekonomi serta isu perpecahan dalam negara.
“Justeru, langkah ini wajar dilihat sebagai strategi ke hadapan dalam memperkukuh kedudukan PN sebagai alternatif yang diyakini rakyat.
“Walau apapun kenyataan saya, pasti pentaksub kerajaan dan yang tidak suka Hamzah akan membantah perkara ini, tapi hakikatnya Tun Dr. Mahathir Mohamad pun inginkan beliau menerajui tugas berat menjadi jambatan kepada Payung Besar Bangsa Melayu dan rakyat negara ini tercapai.
“Ditambah pula dengan kebarangkalian PRU16 yang dijangka akan berlaku dalam keadaan mengejut, kemasukan segera beliau akan kembali memperkukuhkan PN,” katanya. – UTUSAN










