PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) dan UMNO Negeri Sembilan tiada mempunyai sebarang masalah untuk bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) bagi membentuk kerajaan baharu di negeri itu.
Ia susulan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) dan UMNO negeri itu yang menyatakan menarik sokongan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun hari ini.
Seorang Ahli Parlimen BN dari negeri itu memberitahu, jika kerjasama itu benar-benar berlaku maka ia akan memperlihat kuasa autonomi diberi kepada negeri-negeri dalam membentuk pentadbiran mereka sendiri.
“Kita sendiri tiada masalah untuk bekerjasama dengan Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Mereka sendiri pun ada lima kerusi, sama ada hendak pergi kepada BN atau Pakatan Harapan (PH), kita pun tidak tahu.
“Tetapi saya rasa tiada masalah jika autonomi diberi kepada negeri-negeri, dengan siapa kita ingin bekerjasama dalam membentuk kerajaan,.
“Kita juga tiada masalah bekerjasama dengan PN, tinggal lagi kita menunggu respon daripada mereka sahaja,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dalam pada itu, Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, beliau tidak menolak kemungkinan satu mesyuarat tergempar diadakan dalam masa terdekat bagi mencari penyelesaian terhadap isu berbangkit.
“Bersatu tidak akan membuat keputusan sendiri. Apa juga keputusan akan dibuat secara bersama dengan PN dan apabila keputusan dicapai, kita akan maklumkan. Yang penting, kita berpegang kepada keputusan bersama,” katanya.
Mengulas kemungkinan kerjasama dengan PH, Ahmad Faizal berkata, perkara itu juga tertakluk kepada keputusan kolektif gabungan dan bukan pendirian unilateral mana-mana parti komponen.
“Apa juga keputusan kami akan putuskan secara bersama,” katanya.
Sebagai rekod, Negeri Sembilan mempunyai 36 kerusi DUN dengan BN mempunyai 14 kerusi manakala Pakatan Harapan (PH) mempunyai 17 kerusi. PN pula mempunyai sebanyak lima kerusi.
Sebanyak 19 kerusi DUN diperlukan untuk membentuk kerajaan Negeri Sembilan dengan majoriti mudah. – UTUSAN










