Tidak semua individu selesa dirakam untuk kandungan media sosial - Tasha Manshahar - Utusan Malaysia

Tidak semua individu selesa dirakam untuk kandungan media sosial – Tasha Manshahar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyanyi dan guru, Tasha Manshahar meluahkan rasa kesal apabila rakaman video dirinya digunakan sebagai kandungan media sosial tanpa penjelasan oleh seorang pegawai pemantau di sebuah sekolah di Melaka.

Tasha atau Nur Nadia Natasha Mohd Manshahar, 34, berkata, individu berkenaan sebelum itu hadir ke sekolahnya dan meminta untuk merakam sebuah video pendek berdurasi lima saat terhadap dirinya.

“Baru-baru ini ada video seorang pegawai yang tular di media sosial. Kebanyakan kandungan beliau adalah vlog membuat pemantauan di sekolah-sekolah sekitar Melaka.

“Beliau juga datang ke sekolah saya baru-baru ini. Pada hari tersebut, dia masuk ke bilik guru perempuan untuk berjumpa dengan saya dan meminta merakam video lima saat,” katanya menerusi satu hantaran di Threads miliknya.

Tambah penyanyi lagu Bukan Aku itu, dia melayan individu tersebut secara profesional memandangkan bergambar atau merakam video bersamanya bukan pertama kali berlaku.

“Dalam video itu, saya nampak biasa sahaja sebab saya layan secara profesional. Bukan kali pertama orang mahu bergambar atau merakam video kerana mengenali saya,” katanya.

“Saya ada bertanya kepada beliau apa yang perlu saya cakap dalam video itu. Tetapi beliau jawab tidak perlu cakap apa-apa. Saya berbual sedikit untuk hilangkan rasa janggal yang memenuhi ruang bilik guru disaksikan oleh beberapa guru wanita yang ada ketika itu.

“Namun selepas selesai rakaman, dia terus berlalu pergi tanpa menjelaskan tujuan sebenar video itu dirakam. Malah, ucapan terima kasih pun tidak ada,” katanya.

Tasha berkata, dia hanya mengetahui video tersebut dijadikan sebahagian daripada kandungan media sosial individu berkenaan selepas ia dimuat naik di media sosial.

“Rupanya video itu dimasukkan sebagai salah satu rakaman dalam kandungan beliau. Tidak menjadi masalah besar, tetapi saya agak kesal apabila kandungan dan balasan komen yang dibuat seolah-olah mengelirukan dan boleh menimbulkan fitnah terhadap saya,” katanya lagi.

Ujar Tasha, dia sentiasa menjaga imej diri sebagai seorang wanita dan guru, justeru perkara seperti itu boleh memberi kesan terhadap reputasinya.

“Saya sentiasa berusaha menjaga imej sebagai wanita dan juga guru. Mungkin bagi beliau ini adalah sekadar kandungan gurauan tapi bagi saya kurang beretika sebagai pegawai pemantau apatah lagi dari Jabatan Agama Islam. Hal seperti ini tidak sepatutnya berlaku dalam golongan profesional,” jelasnya.

Menurutnya, individu tersebut sepatutnya lebih memahami soal etika mendapatkan persetujuan sebelum memuat naik kandungan melibatkan orang lain.

“Tidak semua individu atau sekolah selesa dibuat sebegitu apatah lagi apabila suara latar yang digunakan bersifat salah faham. Perlu dapatkan kebenaran kerana bimbang boleh jatuh fitnah pada pihak yang terlibat. Seharusnya beliau lebih arif tentang perkara ini,” katanya.

Terdahulu, tular video seorang pegawai yang aktif menghasilkan kandungan lawatan dan pemantauan di sekolah-sekolah sekitar Melaka termasuklah rakaman Tasha Mansahar sebagai kandungan media sosialnya yang disifatkan boleh menyebabkan salah faham.

Untuk rekod, Tasha Mansahar merupakan seorang guru, bekas penyanyi, pelakon, dan penulis lagu Malaysia yang meraih kejayaan dalam tempoh singkat dalam industri muzik. Lagunya, “Be Mine” berjaya menarik perhatian ramai sehingga muzik videonya ditonton hampir 140,000 penonton dalam masa 6 hari sahaja.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN