KUANTAN: Pas menganggap isu membabitkan Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh yang didakwa mengeluarkan kenyataan tidak wajar berkaitan sahabat Nabi Muhammad SAW, telah selesai selepas beliau mengakui kesilapan, menarik balik kenyataan serta memohon maaf secara terbuka.
Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Pas menerima penjelasan dan permohonan maaf dikemukakan Ahli Parlimen berkenaan tanpa perlu tindakan lanjut ketika ini.
Kata beliau, setiap individu tidak terlepas daripada melakukan kesilapan dan perkara paling penting adalah keberanian untuk mengaku salah serta memperbetul keadaan.
“Pertama sekali kita buat teguran. Bila teguran itu diterima dan dia mengaku kesilapan serta membuat kenyataan rasmi memohon maaf dan menarik balik kenyataannya, saya fikir bagi kita itu memadai.
“Kalau kita buat salah, kita mengaku dan minta maaf serta tarik balik kenyataan tersebut, itu yang terbaik buat masa ini,” katanya ketika ditemui pemberita di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Dr. Nik Muhammad Zawawi yang dikaitkan dengan ucapan menyentuh kisah sahabat Nabi sehingga mencetuskan kritikan pelbagai pihak.
Tuan Ibrahim berkata, masyarakat perlu berhati-hati apabila membangkitkan kisah berkaitan zaman jahiliah seseorang termasuk sahabat Rasulullah SAW, lebih-lebih lagi jika tidak bersandarkan kepada hadis sahih.
Katanya, Islam juga menuntut umatnya menjaga aib individu yang telah bertaubat dan kembali kepada jalan benar.
“Lebih baik kalau kita nak cerita zaman jahiliah seseorang itu, tak perlu sebut atau ‘highlight’ nama. Kadangkala kita nak sebut dalam konteks pengajaran, tetapi tidak perlu membuka keburukan seseorang.
“Macam Saidina Abu Bakar RA dan Saidina Umar RA, kita tahu mereka merupakan golongan yang dijamin syurga oleh Allah SWT,” katanya.
Beliau turut menyifatkan kesilapan yang berlaku itu sebagai pengajaran kepada semua pihak supaya lebih berhati-hati ketika menyampaikan ceramah atau ucapan berkaitan agama.-UTUSAN










