PETALING JAYA: ASEAN Records Sdn. Bhd. menegaskan syarikat itu beroperasi secara sah di Malaysia dan mempunyai kelulusan rasmi daripada Sekretariat ASEAN dan Kerajaan Malaysia untuk menggunakan nama ‘ASEAN’ dalam operasi sebagai platform pensijilan rekod serantau bebas.
Pengarah dan Ketua Adjudikator Bersama ASEAN Records, Eldrick Koh berkata, syarikat memperoleh kelulusan penggunaan nama ‘ASEAN’ daripada Sekretariat ASEAN menerusi surat rujukan CCAD/LSAD/UNA/2023/Vol.1/014 bertarikh 1 Disember 2023 yang ditandatangani Timbalan Setiausaha Agung ASEAN bagi Hal Ehwal Komuniti dan Korporat, Tran Duc Binh.
Katanya, syarikat itu turut menerima Kelulusan Menteri di bawah Seksyen 27(3) Akta Syarikat 2016 bagi penggunaan perkataan yang diwartakan ‘ASEAN’ dalam nama syarikat menerusi rujukan P/S/2023/A/004396 bertarikh 14 November 2023.
“ASEAN Records ialah entiti komersial bebas yang beroperasi dengan kelulusan menggunakan nama ASEAN dan kami tidak pernah menerima sebarang notis pembatalan, penarikan balik atau pindaan terhadap kelulusan berkenaan.
“Semua dakwaan yang dilemparkan terhadap syarikat adalah tidak benar dan kami mempunyai dokumen sokongan berkaitan kedudukan undang-undang serta operasi syarikat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Pada 8 Mei lalu, Presiden Persatuan Pengguna Semenanjung Malaysia (PPSM), Sharif Ahmad mendakwa penjualan sijil dan plak dibawah ‘ASEAN Record’ kepada sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan dengan bayaran mencecah puluhan ribu ringgit menimbulkan keraguan dan dipercayai dibuat secara tidak sah.
Presiden Persatuan Pengguna Semenanjung Malaysia (PPSM), Sharif Ahmad dilaporkan berkata, telah menerima aduan daripada syarikat dan orang awam dengan mendakwa mereka didekati sebuah syarikat swasta yang menawarkan pengiktirafan tersebut dengan caj yang tinggi.
Koh berkata, ASEAN Records tidak pernah mendakwa pensijilan atau pengiktirafan yang dikeluarkan syarikat itu diterbitkan secara rasmi oleh Sekretariat ASEAN.
Sebaliknya, katanya, ASEAN Records berfungsi sebagai platform pensijilan serantau bebas dan bukannya organ, agensi atau wakil rasmi kepada Sekretariat ASEAN.
“Rekod yang dikeluarkan adalah pengiktirafan pencapaian cemerlang di peringkat serantau ASEAN oleh badan bebas dan bukannya dikeluarkan oleh Sekretariat ASEAN sendiri,” katanya.
Sementara itu, mengulas dakwaan bahawa syarikat itu mempromosikan dan menjual anugerah, katanya ASEAN Records ialah syarikat komersial berdaftar di Malaysia yang mengendalikan platform pensijilan berbayar selaras dengan amalan badan pensijilan serantau dan antarabangsa lain.
“Syarikat menerima kelulusan sewajarnya di peringkat kebangsaan menerusi Kerajaan Malaysia dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), selain turut memperoleh kelulusan di peringkat serantau daripada Sekretariat ASEAN untuk beroperasi menggunakan nama ASEAN dalam kapasiti komersial ini.
“Kelulusan pada kedua-dua peringkat ini mencerminkan asas operasi kami yang sah dan telus,” katanya.
Koh berkata syarikat akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak didakwa mengeluarkan kenyataan tidak benar berhubung operasi ASEAN Records.
Malah dua laporan polis turut dibuat masing-masing di Balai Polis Kepong dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras pada Ahad lalu berhubung perkara itu.
“Atas nasihat peguam, semua bukti dan dokumen berkaitan akan dikemukakan melalui proses perundangan yang sewajarnya sebaik prosiding dimulakan,” katanya. – UTUSAN










