Pelajar perempuan 15 tahun dakwa nyaris diculik

Pelajar perempuan 15 tahun dakwa nyaris diculik

terkini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun berdepan detik cemas apabila dipercayai menjadi mangsa cubaan culik oleh seorang lelaki tidak dikenali di sebuah lorong di Pekan Simpang Kuala, di sini semalam.

Dalam kejadian sekitar pukul 8.26 malam itu, mangsa bagaimanapun berjaya menyelamatkan diri selepas menggigit tangan suspek sebelum melarikan diri ke sebuah pusat tuisyen berhampiran untuk mendapatkan bantuan.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 3.45 petang, hari ini daripada mangsa yang merupakan pelajar sebuah sekolah menengah di bandar raya ini.

“Siasatan awal mendapati mangsa sedang berjalan melalui lorong di Pekan Simpang Kuala sebelum didatangi secara tiba-tiba seorang lelaki menaiki motosikal.

“Suspek kemudian berhenti di hadapan mangsa lalu memeluk serta menutup mulut mangsa menggunakan tangan,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Menurut beliau, pegawai penyiasat telah mengambil rakaman percakapan mangsa selain menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian bersama pasukan forensik dan detektif.

“Pihak polis turut mendapatkan bantuan Unit Forensik D10 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah bagi mendapatkan sampel di tempat kejadian.

“Usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menyalurkan kepada pihak polis,” ujarnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 363 dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN