ALOR SETAR: Dakwaan tular mengenai cubaan menculik seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun di Kuala Nerang, semalam disahkan tidak benar selepas siasatan polis mendapati kejadian itu direka oleh mangsa sendiri.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, pelajar berkenaan membuat laporan polis pada pukul 3.56 pagi semalam dengan mendakwa dia dihampiri dua lelaki tidak dikenali ketika berada di sebuah kedai makan sebelum digari, diikat tangan dan mulut serta dibawa menaiki sebuah kenderaan.
Menurut laporan itu, mangsa mendakwa dia kemudian ditendang keluar dari kenderaan berhampiran kawasan sempadan di Durian Burung sebelum diselamatkan penduduk setempat.
“Bagaimanapun hasil siasatan terperinci oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Kedah dan JSJ Padang Terap mendapati kejadian itu langsung tidak berlaku seperti yang didakwa.
“Siasatan mendapati pelajar terbabit sebenarnya melarikan diri selepas tersalah masuk tandas perempuan di surau sekolahnya ketika menunggu sesi latihan bola sepak,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata, pelajar yang baru seminggu berpindah ke sekolah tersebut dipercayai panik selepas dikejar beberapa pelajar perempuan yang mengesyaki perlakuannya.
Akibat ketakutan dan rasa malu, pelajar itu menumpang sebuah kenderaan menuju ke kawasan Durian Burung sebelum berlegar-legar di sebuah rumah yang bukan miliknya.
“Tuan rumah berasa curiga dengan tingkah lakunya lalu menghubungi polis sebelum pelajar itu diserahkan kepada anggota bertugas di kawasan berkenaan,” katanya.
Menurut beliau, semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis yang didakwa menjadi lokasi penculikan juga tidak menunjukkan kehadiran mana-mana suspek seperti yang dilaporkan.
“Mangsa akhirnya mengaku mereka cerita tersebut. Kita percaya tindakannya mungkin dipengaruhi tekanan emosi kerana sebelum ini dia merupakan mangsa buli di sekolah lama,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, polis turut mengesahkan empat pelajar telah ditahan bagi membantu siasatan kes buli melibatkan pelajar sama yang dilaporkan pada 18 Jun lalu di sebuah sekolah di Alor Setar.
Sementara itu, beliau berkata, statistik kes buli di Kedah menunjukkan penurunan ketara apabila hanya tujuh kes direkodkan sepanjang enam bulan pertama tahun ini berbanding 43 kes bagi keseluruhan tahun lalu.
“Penurunan ini dipercayai hasil pelbagai kempen kesedaran dan program anti buli yang dilaksanakan di sekolah serta dalam kalangan masyarakat,” katanya. – UTUSAN










