MELAKA: Polis menafikan wujud cubaan culik seorang murid lelaki berusia sembilan tahun di sebuah sekolah rendah di Ayer Keroh, di sini yang kecoh ditularkan dalam kumpulan WhatsApp semalam.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan mendapati kejadian itu hanyalah salah faham berhubung isu berebut pemadam antara murid terbabit dengan seorang lagi pelajar lain.
Menurut beliau, insiden bermula apabila pihaknya menerima laporan polis daripada seorang wanita berusia 28 tahun yang mendakwa anak lelakinya berusia sembilan tahun dilihat bersama seorang wanita tidak dikenali di luar kawasan sekolah pada 8 September lalu.
“Kes yang dikatakan culik itu kemudian tular dalam aplikasi WhatsApp kumpulan sekolah sehinggalah ia dibaca seorang wanita berusia 44 tahun yang merasakan dirinya digambarkan sebagai penculik.
“Wanita berkenaan kemudian tampil membuat laporan polis kira-kira pukul 4.27 petang semalam untuk menjelaskan kejadian itu hanyalah salah faham berhubung isu pemadam,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau menjelaskan, wanita itu yang bekerja sebagai penjaja sebenarnya hadir mengambil anaknya berusia 11 tahun di sekolah sama pada hari kejadian dan secara kebetulan berjalan bersama murid lelaki terbabit.
“Wanita itu menegur murid tersebut selepas insiden kecil berebut pemadam dengan rakan sekelasnya. Kedua-dua pihak kemudian hadir ke Balai Polis Ayer Keroh dan mencapai persetujuan bahawa isu itu hanyalah salah faham,” katanya.
Jelasnya lagi, tiada sebarang unsur jenayah dikesan dan kes berkenaan dianggap selesai. – UTUSAN









