Pelan Strategik MAIWP 2026-2030 perkasa agenda ummah 

Pelan Strategik MAIWP 2026-2030 perkasa agenda ummah 

ZULKIFLI Hasan ketika berucap di Majlis Anugerah Cemerlang (APC) 2025 dan Anugerah Perkhidmatan Setia 25 Tahun MAIWP di Dewan Perdana Felda, di sini hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) melancarkan Pelan Strategik MAIWP 2026-2030 bagi memastikan setiap program zakat, pembangunan asnaf dan perkhidmatan ummah dipantau secara berstruktur serta memberi impak langsung kepada rakyat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama),  Dr. Zulkifli Hasan berkata, pelan itu bukan sekadar dokumen perancangan, sebaliknya dilengkapi mekanisme pengukuran bagi menilai keberkesanan setiap strategi yang dilaksanakan.

Zulkifli berkata, pelan berkenaan mengandungi tiga teras strategik, empat pemacu utama, 34 strategi, 75 inisiatif dan 128 indikator yang menjadi asas kepada hala tuju MAIWP sehingga 2030.

“Kita akan memantau dari semasa ke semasa untuk memastikan semuanya selari dan dapat memberi impak terbaik serta manfaat besar kepada rakyat,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2025 dan Anugerah Perkhidmatan Setia 25 Tahun MAIWP di sini, hari ini.

Menurutnya, pelan itu turut menekankan aspek kelestarian supaya MAIWP mampu menyesuaikan bantuan dan perkhidmatannya dengan perubahan semasa, termasuk cabaran ekonomi serta keperluan baharu golongan asnaf.

Tambahnya, MAIWP perlu memastikan bantuan disalurkan berdasarkan keperluan sebenar penerima, bukan sekadar memenuhi sasaran agihan semata-mata.

Beliau berkata, MAIWP juga bersedia memperkukuh penggunaan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan ketepatan profil asnaf dan menilai impak program bantuan zakat secara berasaskan data.

“Kita pantau berdasarkan data dan penilaian impak, sekiranya kurang baik kita tambah baik, sekiranya lebih baik kita kukuhkan lagi,” katanya.

Dalam pada itu, pelan strategik berkenaan turut menjadi bukti kesiapsiagaan MAIWP untuk memperkukuh tadbir urus, ketelusan dan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.

Sepanjang 2025, kutipan zakat melalui Pusat Pungutan Zakat MAIWP mencecah RM1.205 bilion, manakala agihan kepada asnaf berjumlah RM1.22 bilion menerusi 38 Skim Bantuan Zakat.

Majlis sama turut meraikan 370 warga kerja MAIWP, termasuk 97 pegawai dan 20 pegawai syarikat milik MAIWP yang menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, selain 243 penerima Sijil Penghargaan Perkhidmatan serta 10 penerima Anugerah Perkhidmatan Setia 25 Tahun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN