MARAN: Kementerian Kesihatan menegaskan kerajaan tidak bercadang membina hospital baharu di Maran buat masa ini kerana kawasan itu sudah mempunyai Hospital Jengka yang berada di bawah pentadbiran daerah sama.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, kementerian juga tidak mempunyai dasar membina dua hospital dalam satu daerah jika tahap penggunaan fasiliti sedia ada masih belum mencapai tahap mendesak.
Menurutnya, kadar penggunaan katil (BOR) di Hospital Jengka ketika ini hanya 57 peratus, manakala Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh pula sekitar 63 peratus.
“Buat masa ini kita tidak meneruskan pembinaan Hospital Maran kerana daerah Maran sudah mempunyai Hospital Jengka.
“Kita juga tidak mempunyai polisi untuk membina hospital di setiap daerah atau dua hospital dalam satu daerah jika tahap penggunaannya masih rendah,” katanya dalam sidang akhbar selepas lawatan kerja ke Klinik Kesihatan Maran di sini hari ini.
Isu Hospital Maran mencuri tumpuan penduduk apabila tapak projek yang pernah dipecah tanah di Batu 55, Jalan Maran–Jerantut kini dilihat sepi tanpa sebarang pembangunan fizikal.
Lebih menarik perhatian, projek hospital bernilai RM350 juta itu pernah diumumkan di bawah Rancangan Malaysia terdahulu dan melalui majlis pecah tanah, namun sehingga kini belum menunjukkan tanda-tanda pelaksanaan sebenar.
Dr. Dzulkefly bagaimanapun memberi jaminan lebih 120,000 penduduk daerah Maran tidak dipinggirkan apabila Kementerian Kesihatan memutuskan untuk memperkasakan Klinik Kesihatan Maran sebagai Klinik Kesihatan Type 4.
Katanya, antara penambahbaikan akan dilaksanakan termasuk perkhidmatan kecemasan 24 jam, kemudahan wad pesakit dalam enam katil dan pengukuhan Emergency Bed Centre (EBC).
“Walaupun bukan hospital, tetapi fungsinya mampu memberi perkhidmatan diperlukan rakyat di daerah ini. Kita mahu memperkukuh sistem penjagaan kesihatan primer yang memberi penekanan kepada rawatan awal, pencegahan penyakit dan promosi kesihatan sebelum pesakit memerlukan rawatan hospital,” katanya. – UTUSAN










