‘Mereka cuba selamatkan rakan tetapi turut hanyut’

‘Mereka cuba selamatkan rakan tetapi turut hanyut’

NURUL Ain Fatihah Mohd. Zamri ketika ditemui di Jeram Manir, Kuala Terengganu, Terengganu. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: “Kami mandi berempat sebelum tiba-tiba seorang hanyut. Kami bertiga cuba selamatkannya.”

Demikian detik cemas diceritakan Nurul Ain Fatihah Mohd Zamri, 12, salah seorang mangsa yang terselamat dalam kejadian lemas meragut dua nyawa di Sungai Jeram Hulu, Kampung Jeram Hulu, di sini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, dia dan seorang lagi mangsa, Noor Shaqira Abdul Fatah,12, selamat.

Dua lagi rakan mereka yang juga dua beradik seibu, Nur Afiqah Shahirah Mohd. Shawalluddin, 15, dan Nur Shahila Shahirah Azman 12, dihanyutkan arus deras sungai sebelum mayat mereka ditemukan pada pukul 6 petang ini.

Noor Shaqira yang selamat dilaporkan stabil dan sedang menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.

Nurul Ain Fatihah berkata, mereka berempat keluar dari rumah sekitar pukul 2.30 petang sebelum menuju ke sungai tersebut untuk mandi-manda.

Bagaimanapun, suasana kegembiraan bertukar bertukar tragedi apabila Noor Shaqira tiba-tiba dihanyutkan arus sungai.

Melihat keadaan itu, Nurul Ain Fatihah bersama dua beradik tersebut cuba memberi bantuan, namun malangnya Nur Afiqah Shahirah dan Nur Shahila Shahirah pula hilang daripada pandangan, manakala dia diselamatkan penduduk kampung.

Sementara itu, Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, seramai 14 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerus bersama Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) BBP Kuala Terengganu ke lokasi kejadian.

“Mangsa ditemukan semasa selaman kedua dilakukan kira-kira pukul 6 petang. Kedua-dua mangsa dijumpai berdekatan antara satu sama lain pada kedalaman kira-kira empat meter dan 20 meter dari tebing sungai,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Sementara itu, nenek mangsa yang maut, Esah Salleh, 76, berkata, dia dimaklumkan orang ramai mengenai kejadian menimpa dua cucunya itu selepas mereka keluar dari rumah untuk ke rumah rakan.

“Mereka duduk bersama saya di Kampung Jeram. Saya terkejut apabila dimaklumkan cucu lemas di sungai. Ibu mereka, Suria Sulong, 34, adalah ibu tunggal dan orang kurang upaya (OKU) lembam. Kakak mangsa yang berusia 15 tahun itu juga merupakan OKU lembam,” katanya.

Katanya, kehilangan dua cucunya itu amat dirasai kerana mereka sangat rapat kerana menjaga mereka sejak kecil. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN