
MEKAH: Lembaga Tabung Haji (TH) sudah siap mengatur perjalanan jemaah haji Malaysia dengan teliti bagi mengurangkan risiko terdedah kepada suhu tinggi terutama ketika operasi masyair.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, ketika ini hampir 31,600 jemaah haji Malaysia sudah berada di tanah suci sebelum bergerak ke Arafah pada Selasa, diikuti dengan Mabit di Muzdalifah dan Mina serta melontar di ketiga-tiga jamrah bermula 9 hingga 13 Zulhijah.
Katanya, TH turut meningkatkan langkah kesiapsiagaan menyeluruh untuk menghadapi risiko cuaca panas menjelang kemuncak ibadah haji di masyair ekoran amaran suhu dikeluarkan pihak berkuasa Arab Saudi yang dijangka mencecah 47 darjah Celsius.
Beliau berkata, antara langkah tersebut termasuk pemberian nasihat kesihatan, bimbingan berterusan kepada jemaah dan penyusunan pergerakan yang lebih tersusun sepanjang tempoh masyair.
Katanya, pihak pasukan kesihatan haji kini berada pada tahap kesiapsiagaan tinggi dengan pelbagai persiapan rapi telah dilaksanakan termasuk penyediaan pakar perubatan, kemudahan kesihatan dan kelengkapan mencukupi.
“Langkah itu turut diperkukuh melalui kerjasama erat dengan pihak berkuasa di Arab Saudi bagi memastikan setiap perancangan berjalan lancar,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.
Sebelum ini, Pusat Meteorologi Kebangsaan Arab Saudi mengeluarkan amaran cuaca di Mekah dan kawasan tanah suci sepanjang musim haji 1447H dijangka panas dengan suhu boleh mencecah sehingga 47 darjah Celsius.
Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Meteorologi Kebangsaan Arab Saudi, Dr. Ayman Ghulam berkata, keadaan itu dijangka berlaku bermula 1 Zulhijah hingga Hari Tarwiyah pada 8 Zulhijah.
Menurut beliau, suhu maksimum dijangka antara 44 hingga 47 darjah Celsius manakala suhu minimum sekitar 28 hingga 31 darjah Celsius dengan kadar kelembapan antara 10 hingga 40 peratus.
Katanya, kerajaan Malaysia melalui TH sentiasa memberi fokus utama kepada aspek keselamatan dan kebajikan jemaah, dibantu oleh petugas haji yang berkhidmat sepanjang masa tanpa mengira waktu.
Beliau berkata, pelbagai penambahbaikan dilaksanakan termasuk pengeluaran awal surat tawaran haji, kursus persediaan lebih awal serta inisiatif kesihatan bagi memastikan jemaah memenuhi syarat istito’ah (kemampuan). – UTUSAN










