SEREMBAN:Terdapat kesan tekanan pada leher bayi lelaki berusia tujuh bulan yang meninggal dunia selepas tidak sedarkan diri dalam buaian di rumah pengasuhnya di Bandar Sri Sendayan di sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim berkata, kesan tersebut ditemukan hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Rembau semalam.
Menurutnya, siasatan pihaknya turut mendapati pengasuh terbabit tidak berdaftar dengan mana-mana jabatan dan mengambil upah menjaga kanak-kanak secara persendirian.
“Hasil bedah siasat mengesahkan terdapat tekanan di leher mangsa. Bagaimanapun, pihak kami masih menunggu keputusan ujian lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pengasuh wanita berusia 38 tahun itu telah direman enam hari bermula semalam hingga 25 Mei ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Semalam, media melaporkan seorang bayi lelaki berusia tujuh bulan meninggal dunia selepas tidak sedarkan diri ketika ditidurkan oleh pengasuh di dalam buaian di sebuah rumah di Bandar Sri Sendayan.
Azahar berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam itu, bayi berkenaan didakwa ditidurkan dalam buaian dengan mulutnya diberi puting jenis silikon sebelum didapati tidak sedarkan diri.
Katanya, pengasuh kemudian menghubungi ibu bayi itu selepas mendapati mangsa tidak sedarkan diri. Bayi tersebut telah dijaga oleh pengasuhnya sejak Disember tahun lalu.-UTUSAN










