KUALA LUMPUR: Malaysia memerlukan penyelesaian ekonomi bukan sahaja terhadap isu semasa tetapi untuk masa depan bagi menjamin ekosistem negara tidak terjejas seperti situasi yang berlaku kini akibat konflik Asia Barat.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, negara juga perlu mengambil pengajaran daripada sejarah dunia dalam memperkenalkan sesuatu dasar kerana kegagalan menyelaras pelaksanaan boleh menyebabkan ia ditolak rakyat.
Katanya, sesuatu dasar yang baik akan gagal sekiranya pelaksanaannya tidak dilakukan dengan berkesan termasuk daripada aspek penyampaian dan penerangan kepada rakyat.
“Mungkin akan berlaku peperangan di tempat lain dalam tempoh 10 atau 15 tahun akan datang, kita tidak mahu apabila perkara itu berlaku kita kena kembali semula ke titik permulaan, meja perbincangan dan membincangkan isu yang sama berulang kali tanpa penyelesaian yang tuntas.
“Justeru, apa yang boleh dicadangkan sekarang ialah langkah-langkah yang boleh dilaksanakan untuk kegunaan masa depan agar ekonomi negara menjadi lebih kukuh dan berdaya tahan berbanding sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pembukaan Perbincangan Meja Bulat Krisis Asia Barat 2026: Strategi Intervensi dan Kesiapsiagaan Nasional 2026 di sini, hari ini.
Ahmad Samsuri berkata, sejarah politik dunia membuktikan perkara itu apabila bekas Perdana Menteri United Kingdom (UK), Margaret Thatcher melepaskan jawatannya pada 1990 kerana isu dasar dan penerimaan rakyat terhadap pelaksanaannya.
“Lihat pada kes Margaret, walaupun beliau berjaya membawa Britain menentang Argentina dan mempertahankan Kepulauan Falkland sehingga dilihat sebagai wira tetapi tetap kehilangan sokongan kerana antara puncanya, beliau memperkenalkan cukai kepada kepada setiap individu.
“Selepas beliau berundur, cukai itu digantikan dengan cukai rumah yang dianggap lebih adil, walaupun jumlahnya tidak jauh berbeza. Namun pada akhirnya, isu utama bukan semata-mata soal nilai cukai tersebut, tetapi cara dasar itu ‘dibungkus’ dan diperkenalkan kepada rakyat.
“Sebab itu, sesuatu dasar, intervensi atau pelaksanaan bukan hanya bergantung kepada nilainya semata-mata, tetapi juga bagaimana ia disampaikan dan diterima rakyat, selain aspek pelaksanaan yang disebutkan,” katanya.-UTUSAN










