JOHOR BAHRU: Pas Johor menepis dakwaan bahawa pihaknya tidak akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor seperti yang tular di media sosial, ketika ini.
Ketua Penerangan Pas Johor, Mohd. Firdaus Jaffar berkata, dakwaan itu dipercayai dimainkan pihak tidak bertanggungjawab bagi menimbulkan persepsi negatif dan merendah-rendahkan parti tersebut.
Katanya, sehingga hari ini tiada sebarang arahan rasmi sedemikian dikeluarkan oleh pimpinan parti.
“Pas tidak bertanding di Johor? Itu hanyalah gerak saraf yang dimainkan pihak tertentu bagi membentuk persepsi dan melemahkan semangat jentera. Malah, pimpinan Pas dan Perikatan Nasional (PN) sendiri beberapa kali tegaskan bahawa jentera di Johor siap siaga menghadapi PRN pada bila-bila masa,” katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya, hari ini.
Terdahulu, tular di media sosial mendakwa Pas tidak akan bertanding dalam PRN Johor akan datang bagi memberi laluan kepada UMNO untuk menang yang didakwa merupakan sebahagian persefahaman politik antara Pas dan UMNO.
Sebaliknya, Mohd. Firdaus berkata, Pas kekal fokus dan akan terus memperkukuh gerak kerja melangkah masuk ke medan pilihan raya apabila sampai waktunya.










