Aznil Nawawi buka tabung bantuan buat Adrian Adam - Utusan Malaysia

Aznil Nawawi buka tabung bantuan buat Adrian Adam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengacara versatil, Datuk Aznil Haji Nawawi atau Pak Nil tampil membuka tabung kutipan bantuan buat anak kedua pelakon, Amyza Aznan, Adrian Adam yang mengalami kanser tulang.

Menurut Pak Nil, inisiatif tersebut dibuat bertujuan untuk membantu kos perbelanjaan dan perubatan masalah kesihatan yang dialami remaja itu.

“Saya sudah kosongkan akaun peribadi saya dan mendapat kelulusan dari Maybank untuk mengumpul dana kilat buat Adrian Adam, anakanda Amyza Aznan.

“Segala wang yang dimasukkan ke dalam akaun yang kosong ini mulai saat ini adalah untuk bertujuan perubatan dan saraan Adrian Adam 100 peratus,” katanya menerusi sebuah hantaran di Instagram (IG).

Menerusi hantaran tersebut, pengacara Talk To My Manager itu juga turut memaparkan butiran bank serta bukti bahawa dirinya telah pun mengosongkan akaun peribadinya.

Tambah Aznil, tabung kutipan tersebut akan dibuka selama seminggu, selain terbuka untuk berkongsi mengenai jumlah bantuan terkumpul secara harian.

“Saya akan maklumkan di IG Story jumlah kutipan terkumpul secara harian. Tabung ini akan dibuka selama satu minggu sehingg 27 Mei 2026,” ujarnya.

Tersentuh dengan inisiatif tersebut, Adrian dan Amyza turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada pengacara itu di ruangan komen.

“Allah, terima kasih Pak Nil. Terima kasih semua. Hanya Allah SWT sahaja yang mampu membalasnya,” komen Adrian.

Baru-baru ini, nama Adrian tampil menjadi sorotan selepas mempamerkan keberaniannya untuk membuat persembahan di pentas program realiti, Talk To My Manager 2 biarpun kini berkerusi roda.

Tampil menyanyikan lagu Ku Mohon nyanyian Datuk Sheila Majid, persembahan itu turut menyentuh hati ramai, malah rata-ratanya memuji potensi bakat nyanyian anak pelakon itu.

Sebelum ini, Pak Nil pernah membuat inisiatif yang sama untuk membantu beberapa penyanyi tanah air yang berdepan dengan masalah kesihatan seperti Zamani Slam dan Allahyarham Ibnor Riza.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN