SEPANG: Peserta Global Sumud Flotila (GSF) 2.0 yang kini berada di bawah kawalan tentera rejim Zionis Israel mungkin akan ditahan lebih lama di Penjara Ketziot, Israel.
Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, perkara itu disandarkan kepada latar belakang peserta misi yang sebelum ini pernah ditahan oleh tentera Israel.
Beliau berkata, tiga kemungkinan senario tahanan yang akan berlaku di mana senario pertama membabitkan tahanan yang kali pertama ditahan dan kumpulan ini mungkin akan dibebaskan lebih awal.
“Bagi senario kedua pula, ia melibatkan kumpulan aktivis yang kali kedua memasuki penjara Israel dan berisiko ditahan lebih lama. Jadi kumpulan ini adalah kumpulan yang berpotensi dipenjarakan dan ditahan lama.
“Dan kumpulan yang paling kritikal adalah kumpulan ketiga, yang mana keberanian mereka itu mencetuskan kemarahan tentera Israel menyebabkan Israel mengancam menahan lebih lama di Penjara Ketziot,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Katanya, Penjara Ketziot adalah penjara kontroversi dan terbesar di Israel yang ditubuhkan sejak 1988.
Sani Araby berkata, ancaman tahanan lebih lama itu dipercayai akan digunakan Israel bagi mendesak dunia menarik balik sekatan ataupun waran tangkap dikeluarkan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) terhadap Perdana Menteri mereka, Benjamin Netanyahu.
“Israel juga boleh menggunakan beberapa helah lain termasuk mensabitkan tahanan dengan kesalahan terbabit dalam kumpulan pengganas dan sebagainya,” katanya.
Pada masa sama, katanya, pihaknya juga tidak boleh memberi jaminan bahawa tahanan Malaysia itu dapat dilepaskan sebelum Aidiladha atau sebaliknya.
“Pengorbanan aktivis terbabit menjadi lebih besar apabila mereka berkemungkinan tidak dapat pulang sebelum Aidiladha.
“Minggu depan kita akan meraikan Aidiladha. Saya kira semua kiraan ini telah pun dibuat. Mereka tahu mereka mungkin tidak dapat balik sebelum Aidiladha, dan itu pengorbanan yang besar,” katanya.
Sani Araby berkata, perjuangan itu adalah kemenangan bersama untuk mendesak dunia menghentikan penahanan dan penjajahan berterusan di Gaza.-UTUSAN










