Tentera Darat tambah baik syarat pengambilan perajurit muda

Tentera Darat tambah baik syarat pengambilan perajurit muda

AZHAN Md Othman (kanan) ketika melakukan pemeriksaan baris pada Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Lelaki Siri 205/25 di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda) di Port Dickson, hari ini. - UTUSAN/NOR SHAFIQAH MOHD GHAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Tentera Darat membuat penambah baik dalam syarat pengambilan perajurit muda termasuk membuka peluang kepada kemasukan calon yang memakai cermin mata.

Selain itu, had umur maksimum pengambilan calon turut dinaikkan ke 30 tahun dan syarat minimum ketinggian bagi lelaki diturunkan ke 1.57 meter.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Azhan Md Othman berkata, langkah itu bertujuan membuka peluang lebih luas buat rakyat menyertai perkhidmatan Tentera Darat.

“Tentera Darat turut membuka peluang kepada calon yang memakai cermin mata selain meningkatkan indeks jisim badan (BMI) maksimum daripada 26.9 kepada 28.

“Langkah ini bertujuan untuk membuka peluang yang lebih luas kepada rakyat Malaysia yang berpotensi dan berkelayakan untuk menyertai perkhidmatan Tentera Darat.

“Apa yang lebih penting, setiap calon tetap akan melalui proses penilaian dan latihan yang ketat bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar memenuhi standard Tentera Darat akan diserap ke dalam perkhidmatan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa
sidang akhbar selepas majlis Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Lelaki Siri 205/25 di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda) di sini hari ini.

Seramai 1,236 orang perajurit muda menamatkan latihan asas ketenteraan mereka hari ini.

Sementara itu, Azhan berkata, Tentera Darat telah mewujudkan satu jawatankuasa khas bagi menyokong penubuhan Pasukan Petugas Khas (Task Force) Anti Buli Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Beliau berkata, menerusi jawatankuasa itu, turut ditubuhkan pasukan yang akan memantau khususnya ketika di luar waktu bertugas.

Menurutnya, hasil pemantauan mendapati kebanyakan kejadian buli berlaku di luar waktu bekerja.

“Kami menubuhkan satu jawatankuasa khas yang akan memantau secara holistik dan mikro bagi mengenal pasti kelemahan serta ruang menambah baik dalam menangani isu ini.

“Kami juga mempunyai pasukan pemantau kerana kebanyakan aktiviti buli berlaku di luar waktu kerja. Pasukan ini akan memantau aktiviti terbabit sebelum tindakan lanjut diambil,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, sorang pegawai tentera yang terlibat dalam kes kemalangan maut di ibu negara bulan lalu kini dalam proses pemberhentian Tauliah Jangka Pendek.

Manakala anggota berpangkat koperal yang terlibat dalam kes pukul sehingga menyebabkan kematian seorang anggota berpangkat prebet di Bentong, Pahang telah ditamatkan perkhidmatan pada 13 Mei lepas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN