RUU asing kuasa Peguam Negara, Pendakwa Raya dibentang 22 Jun depan

RUU asing kuasa Peguam Negara, Pendakwa Raya dibentang 22 Jun depan

AZALINA OTHMAN SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2026 berkaitan pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya dijangka dibentangkan pada Sidang Dewan Rakyat pada 22 Jun depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pindaan itu bakal menjadi reformasi institusi bersejarah apabila peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya dipisahkan secara rasmi buat pertama kali sejak negara mencapai kemerdekaan.

Katanya, Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas (PSSC) yang dipengerusikannya mengenai pindaan tersebut sebulat suara bersetuju mengenai usaha kerajaan untuk mengasingkan peranan kedua-dua kuasa eksekutif tersebut.

“Ini satu sejarah kepada negara kita apabila institusi Peguam Negara yang wujud sejak merdeka akhirnya melalui proses pengasingan antara peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Pengasingan Peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya keenam di Parlimen, hari ini.

Menurut Azalina, pada tarikh itu, pihaknya terlebih dahulu akan membentangkan penyata mesyuarat dan penerangan berhubung proses serta perkembangan pindaan RUU tersebut sebelum bacaan pertama dan seterusnya.

\Mengulas mengenai tahap persetujuan yang dicapai, Azalina berkata, mekanisme dicadangkan adalah hasil kompromi terbaik antara cabang eksekutif dan legislatif serta telah mendapat persetujuan semua parti yang terbabit.

“Ia telah dipersetujui oleh semua parti. Saya telah meminta wakil pembangkang memberikan sokongan kepada kerajaan bagi RUU ini memandangkan pindaan berkenaan akan memberi manfaat kepada rakyat.

“Kami ingin memaklumkan kepada masyarakat bahawa ini adalah satu reformasi yang memberi tumpuan kepada penstrukturan semula peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya (AG-PP) menerusi pengasingan fungsi kedua-dua institusi itu dalam negara kita.

“Jadi, saya harap perubahan yang berlaku akan menjadi perancangan baru untuk negara kita pada tahun yang akan datang,” katanya.

Tambahnya, semua wakil dalam Jawatankuasa Pilihan Khas yang mewakili parti masing-masing telah diminta memaklumkan kepada ahli parti mereka di Dewan Rakyat supaya memberi sokongan terhadap pindaan berkenaan.

“Inilah hasil persetujuan yang dicapai menerusi mesyuarat yang berlangsung dan merupakan antara formula terbaik dalam pembentukan pindaan perlembagaan bagi pengasingan peranan AG-PP di negara ini.

“Saya berharap apa juga keputusan kepimpinan parti dapat dibuat selepas persidangan Parlimen dan selepas pindaan perlembagaan berkaitan AG-PP ini diselesaikan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN