DUNGUN: Pengoperasian Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) Santong kendalian syarikat utiliti nasional, Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Paka di sini, memberi manfaat kepada kira-kira 40,000 pengguna di Pantai Timur .
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Fadillah Yusof berkata, BESS Santong adalah projek sulung penyimpanan tenaga bateri utiliti berskala besar di negara ini.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, BESS Santong mampu menjana tenaga elektrik 100 megawatt atau 400 megawatt sejam (mw/j) untuk kegunaan 40,000 pengguna di Pantai Timur.
“Inisiatif ini direncanakan di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional bagi memastikan grid (rangkaian penghantaran kuasa elektrik bervoltan tinggi) nasional sentiasa dalam keadaan stabil,” katanya selepas melancarkan BESS Santong, Paka, di sini hari ini.
Menurut Fadillah, kerajaan mahu memastikan bukan sahaja keterjaminan bekalan elektrik malah mesra alam dan mampu milik.
Beliau berkata, pengoperasian BESS juga selaras dasar nasional untuk menjana 70 peratus tenaga elektrik daripada sumber bersih dan boleh diperbaharui.
Katanya, kira-kira RM380 juta dibelanjakan untuk pembinaan BESS Santong yang mula beroperasi pada 17 April lalu.
“Ia dapat disiapkan dalam tempoh hanya 309 hari, (membuktikan) TNB ada keupayaan menyiapkan infra untuk keseluruhan rantaian tenaga elektrik kita. Saya difahamkan projek BESS kedua akan dilancarkan di Sabah pada Jun atau Julai ini,” katanya.
Beliau berharap TNB dapat mengembangkan jalinan kerjasama membangunkan teknologi sistem bateri pintar tersebut dengan syarikat pembekal luar negara memandangkan keupayaan membinanya sendiri penting demi kelestarian bekalan tenaga negara. – UTUSAN










