PETALING JAYA: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Mandiri bersedia untuk disiasat dan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa berhubung dakwaan menerima dana asing bagi menggerakkan propaganda politik di negara ini.
Pengarah Eksekutif Mandiri, Amir Hariri Abd. Hadi berkata, tuduhan yang dilemparkan sebenarnya merupakan tindakan terdesak bagi mengalih tumpuan terhadap isu-isu yang sedang melanda politik negara.
Tegasnya, Mandiri bukan sebuah parti politik dan tidak terlibat dalam perebutan kuasa mahupun usaha mengangkat atau menjatuhkan kerajaan.
“Kami tegaskan tiada salah laku yang dibuat. Sejak hari pertama penubuhan Mandiri, sebagai sebuah organisasi masyarakat sivil, kami telah menjangka perkara sebegini akan dilakukan dan bersedia dengan segala kemungkinan termasuk penahanan.
“Tiada apa yang ingin kami sembunyikan. Kami pasti dalam beberapa hari ini, sama ada pejabat akan digeledah atau mungkin kami ditangkap dan diheret untuk siasatan.
“Selepas semuanya selesai, kami akan berbincang dengan peguam bagi memulakan tindakan undang-undang untuk segala fitnah dan tohmahan yang dilemparkan. Perkara ini tidak akan menghentikan kami dari terus bersuara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas gesaan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim semalam supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat dakwaan sebuah syarikat tempatan dan beberapa individu yang dikatakan menerima dana asing.
Dana itu didakwa digunakan untuk menjalankan aktiviti politik termasuk operasi media sosial serta mobilisasi protes jalanan bagi mewujudkan sentimen antikerajaan atas nama demokrasi dan hak asasi manusia.
Amir turut menyelar tuduhan yang dilemparkan kerana Setiausaha Politik Menteri Kewangan itu sebenarnya tidak pernah terlibat dengan organisasi masyarakat sivil.
“Adalah perkara biasa untuk sebuah organisasi memohon geran-geran yang majoritinya dibuka secara umum untuk menanggung kos operasi.
“Beliau juga mungkin tidak tahu taktik ini dengan menuduh organisasi masyarakat sivil sebagai ejen asing adalah perkara yang sudah berulang-ulang kali dilakukan, khususnya semasa parti beliau (PKR) masih di bangku pembangkang bagi mendiamkan suara rakyat.
“Beliau sepatutnya boleh bertanya sahaja kepada rakan-rakannya yang kini merupakan menteri, timbalan menteri yang dahulu bergerak dalam organisasi masyarakat sivil, melainkan beliau memang mempunyai niat jahat sejak awal,” katanya.
Amir menjelaskan, Mandiri adalah organisasi anak muda yang menjalankan kerja-kerja pemerkasaan menerusi kelas, forum, diskusi umum, perbincangan umum yang berkait dengan isu-isu anak muda.
Katanya, ia berpandukan lima teras iaitu keadilan sosial, hak asasi, ketelusan pentadbiran kerajaan, keadilan ekonomi dan kelestarian alam sekitar. – UTUSAN










