Ebola: AS pertingkat saringan di pintu masuk negara

Ebola: AS pertingkat saringan di pintu masuk negara

PETUGAS kesihatan berada di dalam 'zon merah' pusat rawatan wabak Ebola di Butembo.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC) mempertingkatkan tindak balas terhadap wabak Ebola yang sedang melanda Republik Demokratik Congo dan Uganda, susulan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan situasi itu sebagai kecemasan kesihatan awam.

CDC memaklumkan akan menghantar lebih ramai kakitangan ke kawasan terjejas serta menyediakan sokongan teknikal termasuk ujian makmal, pengesanan kontak dan pemantauan melalui pejabat negaranya, menurut pengurus insiden respons Ebola CDC, Dr Satish Pillai.

CDC turut mengaktifkan pusat tindak balas kecemasannya bagi mempercepatkan usaha kawalan wabak.

“Risiko kepada Amerika Syarikat masih rendah,” kata Dr Pillai dalam taklimat bersama media semalam.

Beliau menjelaskan, wabak tersebut berpunca daripada strain Bundibugyo ebolavirus, yang belum mempunyai vaksin atau rawatan yang diluluskan, dan boleh merebak apabila pesakit menunjukkan simptom.

Tindakan itu dibuat susulan WHO mengisytiharkan wabak Ebola sebagai kecemasan kesihatan awam yang menjadi kebimbangan antarabangsa pada Ahad, namun tidak sampai ke tahap pengisytiharan ‘darurat pandemik’, ketika usaha digerakkan untuk mengumpul sokongan bagi menangani strain virus yang jarang berlaku itu.

WHO berkata, strain berkenaan dipercayai merebak secara tidak dikesan di rantau tersebut selama beberapa minggu.

Di Republik Demokratik Congo, sebanyak lapan kes disahkan, 246 kes disyaki jangkitan dan 80 kematian disyaki di wilayah Ituri, menurut WHO.

Uganda pula melaporkan, dua jangkitan dan satu kematian dalam kalangan pengembara yang datang dari Congo.

CDC bagaimanapun tidak mengesahkan sama ada rakyat Amerika di Congo terdedah kepada virus tersebut.

Agensi itu dimaklumkan mengenai wabak di Congo pada 14 Mei dan wabak di Uganda pada 15 Mei, kata Dr Satish Pillai.

Beliau berkata, CDC yang berpangkalan di Atlanta sedang mengenal pasti kakitangan untuk dihantar ke negara terjejas pada awal minggu ini, bagi menambah lebih 30 anggota sedia ada di setiap negara.

CDC turut mengeluarkan dua notis kesihatan perjalanan untuk rakyat Amerika supaya meningkatkan langkah berjaga-jaga.

Negara-negara terjejas juga melaksanakan strategi saringan keluar di lapangan terbang tempatan bagi memantau jangkitan, manakala AS sedang menambah langkah untuk mengesan individu bergejala di pintu masuk negara, kata Dr Pillai.

Beliau menambah, penularan rentas sempadan, kelompok kematian yang tidak dapat dijelaskan serta ketidakpastian besar mengenai skala wabak menyebabkan WHO mengklasifikasikan situasi itu sebagai tahap kebimbangan kesihatan antarabangsa tertinggi.- BLOOMBERG

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN