Tempoh rayuan cukai tanah dilanjut, denda lewat dikecualikan

Tempoh rayuan cukai tanah dilanjut, denda lewat dikecualikan

CHOW KON YEOW
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Kerajaan negeri Pulau Pinang bersetuju melanjutkan tempoh rayuan bagi kes-kes berkaitan pelaksanaan semakan cukai tanah baharu sehingga 31 Mei ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, lanjutan tempoh tersebut memberi ruang kepada pemilik tanah untuk mengemukakan rayuan serta maklum balas melalui saluran rasmi di Pejabat Daerah atau Pejabat Tanah dan Galian (PTG).

“Justeru, saya menyeru semua pemilik tanah supaya mengemukakan rayuan dan maklum balas menerusi saluran rasmi termasuk bagi tujuan pengesahan penggunaan hak milik tanah semasa untuk semakan lanjut,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Kerajaan negeri sebelum ini telah mewartakan kenaikan kadar baharu cukai tanah berkuat kuasa 1 Januari lalu, melibatkan kira-kira 370,000 hak milik.

Langkah itu bagaimanapun mencetuskan pelbagai maklum balas daripada pemilik tanah, khususnya berkaitan peningkatan kadar yang dikenakan, sekali gus mendorong kerajaan negeri membuka ruang rayuan bagi menilai semula kes-kes tertentu secara lebih terperinci.

Menurut Kon Yeow, pengecualian denda lewat kepada pemilik tanah yang menjelaskan bayaran cukai selepas 31 Mei 2026 melibatkan denda lewat bagi cukai tanah, cukai petak dan cukai blok sementara.

Beliau berkata, langkah tersebut diambil bagi membantu pemilik tanah menyesuaikan diri dengan kadar cukai baharu yang tidak disemak lebih 30 tahun, selain mengurangkan beban kewangan dalam tempoh peralihan.

“Kerajaan negeri berharap pengecualian ini dapat memberi peluang kepada pemilik tanah menjelaskan cukai masing-masing dengan segera dan mengelakkan tunggakan menjelang tahun 2027,” katanya.

Katanya, sehingga semalam, sebanyak 10,344 maklum balas atau rayuan telah diterima oleh Pejabat Daerah di seluruh negeri.

“Daripada jumlah itu, 4,015 kes telah diselesaikan manakala 6,329 kes masih dalam tindakan Pejabat Daerah dan Tanah serta Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN