Tempoh 25 tahun gajah Malaysia di Jepun terlalu panjang - Utusan Malaysia

Tempoh 25 tahun gajah Malaysia di Jepun terlalu panjang

NGO dan aktivis Sekretariat Solidariti DAK mengadakan perhimpunan di Taiping, hari ini. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIPING: Tempoh perjanjian selama 25 tahun bagi program pertukaran gajah Malaysia–Jepun terlalu panjang dan tidak munasabah dari sudut kebajikan haiwan.

Koordinator NGO Sekretariat Solidariti Bersama Dara, Amoi dan Kelat (DAK), Neow Choo Seong berkata, tempoh tersebut berbeza dengan amalan diplomasi haiwan sebelum ini, khususnya program panda yang hanya dimeterai untuk tempoh lima tahun sebelum diperbaharui melalui semakan bersama antara kerajaan terlibat.

“Dalam diplomasi panda, kita hanya bersetuju untuk lima tahun sahaja. Selepas itu, kedua-dua kerajaan akan menilai semula keadaan haiwan dari segi kesihatan, keselamatan dan kebajikan sebelum sebarang lanjutan dibuat.

“Pendekatan turut membolehkan kedua-dua pihak mempunyai ruang untuk membuat keputusan semula termasuk pelan pemulangan haiwan sekiranya keadaan tidak lagi sesuai atau berisiko terhadap kebajikan haiwan tersebut,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, bagaimanapun, dalam kes pertukaran gajah Malaysia–Jepun melibatkan Dara Amoi dan Kelat (DAK), Neow mendakwa tidak jelas mengenai sama ada pendekatan semakan berkala seperti diplomasi panda turut digunakan.

Beliau mendakwa kandungan Memorandum Persefahaman (MoU) berkaitan program itu tidak didedahkan secara terbuka, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai tahap ketelusan rundingan antara kedua-dua negara.

“Kami tidak tahu siapa yang mewakili Malaysia dalam rundingan ini. Jika ia melibatkan Malaysia dan Jepun, ia sepatutnya perjanjian kerajaan dengan kerajaan, bukan pihak yang tidak jelas kedudukannya,” katanya.

Neow turut menegaskan ketiadaan maklumat jelas mengenai perjanjian itu boleh menjejaskan keyakinan awam terhadap pengurusan program diplomasi haiwan negara.

Beliau berkata, kebimbangan semakin meningkat apabila tempoh 25 tahun itu dilihat terlalu panjang, terutama apabila dibandingkan dengan jangka hayat dan kesejahteraan haiwan di bawah jagaan manusia.

“Kita lihat 25 tahun itu sangat panjang. Dalam kes panda hanya lima tahun, tetapi dalam kes ini jauh berbeza. Ini menimbulkan persoalan besar tentang standard kebajikan yang digunakan,” katanya.

Beliau menambah, situasi menjadi lebih sensitif apabila gajah jantan, Kelat, kini telah mencapai usia 25 tahun, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada haiwan berkenaan mampu melalui tempoh perjanjian yang panjang dalam keadaan sihat.

“Kami sangat bimbang dengan keadaan ini. Jika benar tempohnya 25 tahun lagi, ia seolah-olah meliputi seluruh sisa hayat seekor haiwan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN