WASHINGTON: Rundingan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran dijangka disambung semula seawal minggu depan di ibu negara Pakistan, lapor Wall Street Journal pada Jumaat yang memetik sumber mengetahui perkara itu.
Akhbar itu melaporkan, kedua-dua pihak sedang bekerjasama dengan pengantara untuk merangka memorandum persefahaman satu halaman yang mengandungi 14 perkara bagi menetapkan parameter rundingan selama sebulan untuk menamatkan perang.
Draf tersebut dilaporkan merangkumi perbincangan mengenai program nuklear Iran, usaha meredakan ketegangan di Selat Hormuz serta kemungkinan pengendalian stok uranium diperkaya tinggi milik Iran ke negara lain, walaupun beberapa isu utama masih belum diselesaikan.
Bagaimanapun, tahap pelonggaran sekatan masih menjadi perdebatan dan berpotensi menggagalkan rundingan.
Jika rundingan menunjukkan perkembangan positif, tempoh awal selama sebulan itu boleh dilanjutkan dengan persetujuan bersama, menurut laporan berkenaan.
Ketegangan serantau memuncak selepas AS dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran pada 28 Februari, yang mencetuskan serangan balas oleh Teheran serta gangguan di Selat Hormuz, laluan utama penghantaran minyak dan gas dunia.
Gencatan senjata mula berkuat kuasa pada 8 April menerusi pengantara Pakistan, namun rundingan pusingan pertama di Islamabad pada 11 April gagal mencapai persetujuan berkekalan.
Gencatan senjata itu kemudiannya dilanjutkan oleh Presiden AS, Donald Trump, tanpa menetapkan tempoh akhir.
Sejak 13 April, AS melaksanakan sekatan laut yang menyasarkan trafik maritim Iran di laluan strategik tersebut.- ANADOLU









