PETALING JAYA: Penerbit dan pengarah, Tiara Jacquelina menegaskan dia sentiasa terbuka untuk memberi peluang kepada bakat baharu dalam Teater Muzikal Puteri Gunung Ledang (PGL).
Menurut Tiara atau Tiara Jacquelina Eu Effendi, 59, ada peserta yang mungkin belum dikenali tetapi memiliki kelebihan tersendiri.
“Dalam mana-mana produksi, kadang-kadang kita boleh terjumpa seseorang yang mungkin belum dikenali, tetapi mempunyai sesuatu yang sangat istimewa,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia pada Sabtu.
Bagaimanapun, Tiara berkata, produksi sebesar PGL memerlukan pelakon dan barisan pelakon sokongan yang benar-benar bersedia.
“Ini bukan produksi kecil. Ini adalah sebuah teater muzikal berskala besar yang memerlukan barisan pelakon yang telah bersedia dari awal,” ujarnya.
Tambah Tiara yang juga memegang watak utama sebagai Gustri Putri dalam teater muzikal itu (2006, 2009), pengalaman pentas sangat membantu terutama untuk watak utama.
“Pengalaman pentas sememangnya sangat membantu kerana mereka perlu membawa beban emosi dan teknikal yang besar.
Justeru itu, barisan pelakon sokongan juga merupakan nadi dan tulang belakang untuk sesebuah persembahan.
“Untuk barisan pelakon sokongan pula, kemahiran menari sangat penting dan mereka juga mesti boleh menyanyi secara langsung,” ujarnya.
Katanya, Enfiniti Academy juga akan mengadakan bengkel tarian Jawa dan silat Melayu untuk semua pelakon yang dipilih.
“Bengkel Tarian Jawa dan silat Melayu akan dijalankan dari sekarang hingga Mei untuk semua barisan pelakon,” jelasnya.
Terdahulu, sesi uji bakat bagi pementasan semula Teater Muzikal Puteri Gunung Ledang 2026 telah berlangsung pada pertengahan April yang menyaksikan pelakon-pelakon hebat yang menyertai uji bakat seperti Azira Shafinaz, Mimi Lana dan Sweet Qismina. – UTUSAN










