PETALING JAYA: Kelab Rahman Putra Malaysia (KRPM) mengukuhkan komitmennya terhadap kelestarian alam sekitar menerusi Sistem Fotovoltaik (PV) Solar atas bumbung berkapasiti 346.50 kWp yang dipasang di kelab tersebut di Bukit Rahman Putra.
Projek itu dibangunkan di bawah model pelaburan tenaga boleh baharu Tanpa Perbelanjaan Modal (Zero CAPEX) dan akan dikendalikan sepenuhnya oleh Evergreen Fintech selaku Pelabur PV Solar Berdaftar (RPVI).
Presiden KRPM, Rena See Geok Kyim berkata, sistem solar itu menandakan pencapaian penting dalam perjalanan kelestarian kelab yang menempatkan salah sebuah padang golf terbaik negara itu.
Katanya, projek itu mencerminkan komitmen kelab ke arah amalan alam sekitar yang bertanggungjawab dan aspirasi kami untuk menyumbang secara positif terhadap masa depan rendah karbon.
“KRPM menampilkan dua padang golf 18 lubang yang mencabar, The Lakes Course dan The Hills Course.
“Kelab tersebut turut menawarkan pelbagai kemudahan sukan dan rekreasi lain termasuk renang, tenis, snuker dan skuasy buat ahli serta komuniti setempat,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Quantum Sustainable Energy, Hewjerd Teng Zhong Hao berkata, sistem solar 346.50 kWp adalah lebih daripada sekadar pemasangan tenaga bersih.
“Ia merupakan satu inisiatif strategik jangka panjang yang direka untuk mengoptimumkan penjimatan kos elektrik.
“Selain itu dapat meningkatkan daya tahan tenaga operasi, dan memperkukuhkan komitmen alam sekitar, sosial, dan tadbir urus (ESG) kelab,” ujarnya.
Sepanjang 21 tahun tempoh projek berkenaan, sistem tersebut dijangka mampu menjana kira-kira 8.5 juta kWh elektrik bersih.
“Impak persekitaran ini juga amat signifikan dengan anggaran pengurangan pelepasan karbon dioksida setara (CO₂e) sebanyak 6,290 tan.
“Jumlah ini setanding dengan kapasiti penyerapan karbon oleh kira-kira 7,340 ekar hutan semula jadi.
“Modul solar PV berkecekapan tinggi itu telah siap dipasang merentasi kemudahan bumbung terpilih di dalam kompaun kelab dan kini bersedia untuk pengoperasian komersial,” tambahnya.
Majlis itu disempurnakan bersama Pengarah Aset Evergreen Fintech, Encik Tobi Teng Zhong Ying serta kerjasama Evergreen Fintech Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh Quantum Sustainable Energy Sdn. Bhd. – UTUSAN










