Tapak Sensor jarak Jauh Pulau Malawali perlu disegerakan, perkukuh keselamatan sempadan

Tapak Sensor jarak Jauh Pulau Malawali perlu disegerakan, perkukuh keselamatan sempadan

Saifuddin Nasution Ismail
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menegaskan keperluan untuk menyegerakan pelaksanaan Remote Sensor Site (RSS) atau Tapak Sensor Jarak Jauh di Pulau Malawali, Sabah bagi memperkukuh kawalan keselamatan negara, khususnya di kawasan berisiko tinggi.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pelaksanaan RSS di pulau berkenaan tidak boleh lagi ditangguhkan memandangkan kepentingannya dalam menangani isu keselamatan sempadan.

Menurutnya, kelulusan bagi projek berkenaan telah pun diperoleh seawal Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), namun beliau menyifatkan pembinaan RRS itu belum menunjukkan sebarang perkembangan.

“Saya mencadangkan supaya kita ‘follow through’ perkara ini, susulan itu, kita perlu memastikan agensi pelaksanaan benar-benar bergerak. Sama ada melalui agensi pelaksanaan atau pun kita sendiri, isu utama ialah pembinaan radar di Pulau Malawali mesti disegerakan.

“Dengan cara itu, kita boleh meningkatkan keupayaan mengawal kawasan keselamatan kita, khususnya di Pantai Timur (Sabah). Ini merupakan keutamaan dalam sektor ini, kalau kita siap ikut jadual, tak ada lagi ‘blind spot’ bagi kawasan berkenaan dan ini adalah keperluan nombor satu untuk saya,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan KDN Mei 2026 di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, kewujudan RSS amat penting dalam meningkatkan keupayaan pemantauan terhadap kemasukan pendatang asing tanpa izin serta aktiviti rentas sempadan yang lain.

“Jadi saya lihat keperluan radar itu adalah sangat penting dalam menyusun gerak dari segi pengurusan keselamatan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa enam pos keselamatan tambahan di kawasan sama telah diluluskan dan kini menunggu pelaksanaan oleh agensi berkaitan.

“Pasukan petugas keselamatan tentu mahukan pos yang lebih baik, lebih lengkap dan berada di lokasi yang strategik. Pasukan petugas telah disediakan untuk digerakkan, tetapi pos masih belum siap dan itu tidak baik.

“Pandangan saya, jika sesuatu projek itu mempunyai nilai keselamatan yang tinggi, ia tidak boleh dilaksanakan mengikut KPI biasa. Ia mesti diberikan keutamaan yang lebih tinggi dari segi keselamatan. Ini bukan projek pembangunan biasa, sebaliknya perlu dilihat dari sudut yang berbeza,” ujarnya.

Pada 23 April lalu, media melaporkan sebuah lagi RSS atau Tapak Sensor Jarak Jauh bakal dibina di Pulau Malawali bagi meningkatkan serta mengukuhkan kupayaan pemantauan terhadap sebarang pencerobohan di bahagian utara Sabah.

Saifuddin berkata, berdasarkan keperluan semasa kerajaan telah memperuntukkan RM88 juta bagi membina RSS berkenaan yang diluluskan dalam pelan pusingan pertama RMK13.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN