Hanya tumpu program asas air, elektrik, KKDW jimatkan RM250 juta

Hanya tumpu program asas air, elektrik, KKDW jimatkan RM250 juta,

AHMAD Zahid Hamidi ketika perhimpunan bulanan KKDW di Putrajaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berjaya menjimatkan sekurang-kurangnya RM250 juta hasil pelarasan perbelanjaan termasuk penyusunan semula program yang dibuat setakat ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, hasil penjimatan itu seterusnya akan diserahkan kepada Kementerian Kewangan bagi membantu perbelanjaan melibatkan subsidi bahan api kepada rakyat.

“Kita telah memutuskan sekurang-kurangnya sebanyak RM250 juta telah dapat dijimatkan yang mana perbelanjaan yang diperuntukkan kepada KKDW akan diserahkan semula kepada Kementerian Kewangan.

“Dan tentunya ia (penjimatan KKDW) bagi menampung subsidi terhadap kos harga minyak atau tenaga yang makin meningkat dan kita harapkan semua kementerian dapat membantu kearah itu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulan Mei KKDW di sini hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, pihak kementerian juga telah mengemukakan kepada Kementerian Kewangan mengenai langkah penjimatan sebelum pekeliling mengenainya diedarkan.

Katanya, pengurangan kepada program berimpak rendah itu bagi memberi keutamaan kepada program asas termasuk air dan bekalan elektrik.

“KKDW tidak juga terkecuali dalam langkah ini. Malah, sebelum arahan itu dikeluarkan, kita telah mengemukakan kepada Kementerian Kewangan untuk mengurangkan program yang mempunyai kesan kurang.

“Jadi, untuk majlis promosi seperti pameran produk ataupun mengadakan acara penting, tetapi tidak begitu memberi kesan yang mendalam sebelum ini, kami telah melakukan penjimatan dalam hal sedemikian,” katanya.

Sebelum ini, Kementerian Kewangan mengarahkan semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan melaksanakan penjimatan terhadap Perbelanjaan Mengurus (OE) masing-masing, berdasarkan peruntukan belanjawan yang masih berbaki bagi 2026 dengan nilai keseluruhan mencapai RM10 bilion.

Menerusi satu panduan penjimatan yang dicadangkan Perbendaharaan untuk dilaksanakan, langkah itu adalah tindak balas kerajaan untuk menangani kesan krisis Asia Barat.

Daripada jumlah itu, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan Tinggi adalah antara kementerian dicadang melaksanakan OE tertinggi, masing-masing dianggarkan RM3.06 bilion dan RM2.39 bilion.

Ia diikuti Kementerian Dalam Negeri (RM674 juta), Perbendaharaan (RM664 juta), KKDW (RM571 juta), Kementerian Pertahanan (RM508 juta) dan Kementerian Pendidikan (RM466 juta). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN