Wujudkan cawangan JAS di Pelabuhan Klang tangani jenayah alam sekitar rentas sempadan

Wujudkan cawangan JAS di Pelabuhan Klang tangani jenayah alam sekitar rentas sempadan

ARTHUR JOSEPH KURUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) kini sedang meneliti cadangan penubuhan Cawangan Jabatan Alam Sekitar (JAS) di Pelabuhan Klang secara tetap bagi mendepani jenayah alam sekitar merentas sempadan.

Menterinya, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, buat masa ini, JAS hanya mempunyai 1,041 anggota penguat kuasa di seluruh negara dan keupayaan itu amat terhad berbanding agensi sempadan lain.

“Ancaman geopolitik baharu melibatkan jenayah alam sekitar merentas sempadan semakin mengganas.

“Penyeludupan buangan terjadual seperti e-waste; di mana kebanyakannya dari Amerika Syarikat dan negara lain memerlukan JAS bekerja lebih masa,” katanya ketika berucap pada majlis perhimpunan bulanan NRES di sini hari ini.

Katanya, jumlah anggota penguat kuasa JAS ini sangat tidak seimbang berbanding agensi penguatkuasaan sempadan lain seperti PDRM (sekitar 134,000 anggota) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (sekitar 15,000 anggota).

Athur berkata, cadangan penubuhan Cawangan JAS Pelabuhan Klang itu juga mesti dilihat dari lensa strategik di mana ia bukanlah sekadar penambahan staf awam, tetapi merupakan pelaburan langsung ke atas keselamatan sempadan dan kesihatan awam negara.

Dalam pada itu, Athur berkata, Malaysia juga telah menghantar isyarat jelas kepada komuniti antarabangsa bahawa negara ini tidak akan menjadi tempat pembuangan sampah dunia.

“Melalui ‘Ops Bongkar’ sebelum ini, JAS telah berjaya menahan lambakan 103 kontena seludupan haram sisa e-waste dari negara luar.

“Ini merupakan salah satu kejayaan operasi bersepadu yang Kementerian laksanakan, dan ia akan diperkukuhkan lagi melalui operasi secara berterusan,” katanya.

Dari sudut penguatkuasaan di kawasan hutan pula, katanya, NRES mengambil pendekatan memperkasakan rakyat dengan
pelantikan seramai 2,500 Renjer Komuniti di seluruh Semenanjung Malaysia, didorong oleh peruntukan kerajaan bernilai RM80.8 juta.

“Selari dengan itu, Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) terus cemerlang menumpaskan ribuan kes pencerobohan dengan nilai sitaan melebihi RM 413 juta sejak 2019,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN