Awalnya ingat dia sombong, rupanya sangat baik - Hariz Hamdan - Utusan Malaysia

Awalnya ingat dia sombong, rupanya sangat baik – Hariz Hamdan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon, Hariz Hamdan teruja dan gementar di hari pertama set penggambaran Dendam Seorang Mentua kerana diberi peluang bekerja dengan idolanya, Datuk Yusry Abdul Halim.

Hariz, 24, mendedahkan bahawa dia merupakan peminat yang membesar dengan karya-karya Yusry, malah filem ikonik Mr. Cinderella diterbitkan pada tahun kelahirannya pada 2002.

“Waktu awal-awal itu memang ada rasa takut juga sebenarnya sebab saya memang dibesarkan dengan filem-filem Datuk Yusry. Bayangkan, saya baru lahir ketika filem Mr. Cinderella keluar pada tahun 2002.

“Bagi saya, bila dulu kita hanya menonton karyanya ketika kecil dan sekarang dapat berada dalam satu bingkai (frame) bersama, ia adalah satu perkara yang sangat membanggakan. Saya rasa sangat kerdil dan pada masa sama cukup bangga,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Bercerita mengenai pengalaman hari pertama di set penggambaran, Hariz secara jujur mengakui pada mulanya dia menyangka Yusry seorang yang sombong berdasarkan riak wajahnya yang sentiasa kelihatan serius.

Bagaimanapun, telahan tersebut ternyata meleset sebaik sahaja mereka mula berinteraksi apatah lagi mereka berlakon sebagai ayah dan anak dalam drama ini.

“Hari pertama masuk set, saya ingatkan Datuk Yusry sombong sebab muka dia nampak ada berlagak sedikit. Namun, selepas saya memberanikan diri berborak, rupa-rupanya dia sangat baik dan kami terus serasi (klik).

“Sebagai pendatang baru, saya sedar diri. Apabila kita bekerja dengan orang lama, kitalah yang kena datang tegur, sapa dan ucap selamat pagi. Dari situ, hubungan kami menjadi lebih akrab,” jelasnya lagi.

Selain Yusry, Hariz turut menyuarakan keterujaannya apabila dapat bekerjasama dengan barisan pelakon gred A yang lain seperti Datuk Aaron Aziz, Intan Ladyana, Tracy dan Chacha Maembong buat pertama kali.

Drama Dengan Seorang Mentua menceritakan Sofia yang bangkit membalas dendam dengan mengahwini Datuk Muzaffar, iaitu bapa kepada bekas kekasihnya. Drama ini mula ditayangkan bermula hari ini di Astro Prima. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN