Sunway Construction catat untung bersih RM118.4 juta pada suku pertama

Sunway Construction catat untung bersih RM118.4 juta pada suku pertama

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sunway Construction Group Berhad (Sunway Construction) merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM118.4 juta dengan hasil RM1 bilion bagi suku pertama tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026.

Prestasi itu mencerminkan pertumbuhan kukuh sebanyak 56 peratus tahun ke tahun, disokong sumbangan lebih tinggi daripada semua segmen operasi.

Kumpulan turut mengisytiharkan jumlah dividen sebanyak 22.8 sen sesaham biasa bagi suku semasa, merangkumi dividen interim pertama satu peringkat sebanyak 7.60 sen sesaham biasa dan dividen khas sebanyak 15.2 sen sesaham biasa.

Pengarah Urusannya, Liew Kok Wing berkata, buku pesanan tertunggak kumpulan yang sihat, bersama penambahan pesanan baharu yang kukuh, terus memberikan keterlihatan jelas terhadap trajektori pertumbuhan pendapatan.

“Pada suku pertama 2026, kumpulan memperoleh kontrak baharu bernilai RM3.59 bilion, sekali gus mencapai lebih 50 peratus sasaran penambahan buku pesanan bagi tahun ini.

“Segmen pembinaan mencatatkan hasil sebanyak RM950.6 juta dalam tempoh itu berbanding RM1.4 bilion pada suku pertama tahun kewangan 2025.

“Prestasi hasil yang lebih tinggi dalam tempoh sama tahun lalu didorong terutamanya oleh kemajuan pembinaan dipercepat bagi projek Rapid Transit Systems (RTS) Link serta beberapa projek pusat data,” katanya dalam kenyataan.

Walaupun hasil direkodkan pada suku semasa lebih rendah, segmen itu berjaya mencatat peningkatan keuntungan memberangsangkan apabila keuntungan sebelum cukai (PBT) meningkat 33 peratus tahun ke tahun kepada RM148.7 juta, manakala margin PBT bertambah baik kepada 15.6 peratus.

Sementara itu, hasil segmen pratuang melonjak 136 peratus kepada RM72.1 juta berbanding RM30.6 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

Prestasi itu dipacu sumbangan lebih tinggi daripada projek ICPH selain peningkatan progresif daripada projek baharu yang diperoleh, sekali gus meningkatkan PBT lima kali ganda kepada RM6 juta bagi suku berkenaan.

Mengulas prospek kumpulan, beliau berkata, Malaysia kini muncul sebagai antara pasaran pusat data paling dinamik di Asia Tenggara dan terus mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi pilihan pengendali hyperscaler global.

“Penekanan negara terhadap percepatan peralihan tenaga serta pengukuhan ekosistem infrastruktur digital dijangka menyokong kemampanan jangka panjang pelaburan digital di Malaysia.

“Dalam persekitaran ini, kumpulan terus memperkukuh kedudukannya dalam sektor pertumbuhan utama negara, khususnya segmen Kemudahan Teknologi Termaju (ATF).

“Ini sambil mengekalkan profil buku pesanan pembinaan yang pelbagai merangkumi pelbagai sektor termasuk projek Sunway Group,” ujarnya.

Tambah beliau, dalam segmen ATF, kumpulan memperoleh tiga projek pusat data baharu dan menerima pengendali hyperscale antarabangsa baharu sebagai pelanggan pada suku berkenaan, sekali gus memperkukuh pangkalan pelanggan teknologi multinasionalnya.

“Sunway Construction telah menyiapkan kapasiti pusat data melebihi 180MW setakat ini dan kini menguruskan 10 projek sedang berjalan bagi pelanggan teknologi global.

“Kumpulan juga kekal berhati-hati optimis terhadap prestasi bagi baki 2026, disokong buku pesanan tertunggak yang sihat dan pelbagai berjumlah RM8.157 bilion.

“Namun, kumpulan terus berwaspada terhadap perkembangan geopolitik yang berubah-ubah serta kesan limpahan daripada peningkatan kos dan gangguan rantaian bekalan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN