Pendapatan Pos Malaysia tumbuh kepada RM501.4 juta

Pendapatan Pos Malaysia tumbuh kepada RM501.4 juta pada suku pertama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) merekodkan pendapatan sebanyak RM501.4 juta pada suku pertama tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026, meningkat 7.3 peratus berbanding suku sama tahun sebelumnya.

Bagi suku sama, syarikat mencatatkan pengurangan kerugian sebelum cukai sebanyak 63.7 peratus tahun ke tahun, didorong oleh sumbangan yang lebih kukuh daripada semua segmen, terutamanya segmen pos, penerbangan dan segmen lain.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia,Charles Brewer berkata, kumpulan mencatat prestasi yang lebih berdaya tahan pada suku pertama, disokong oleh pertumbuhan pendapatan merentas semua segmen, dengan sumbangan yang amat kukuh terutamanya daripada segmen pos dan penerbangan, diperkukuh oleh inisiatif kawalan kos yang berterusan.

“Walaupun cabaran struktur kekal terutamanya dalam segmen pos, kumpulan mula melihat manfaat daripada pengoptimuman rangkaian, pengurusan hasil yang lebih berdisiplin serta pendigitalan yang lebih tersasar di bawah usaha transformasi kami yang berterusan. 

“Fokus kami kini tertumpu sepenuhnya kepada mengekalkan disiplin operasi ini, meningkatkan kualiti pendapatan dan memastikan segmen pos kekal berdaya maju dalam jangka panjang.

“Ini termasuk melalui penglibatan konstruktif dalam pembaharuan Akta Perkhidmatan Pos serta pembiayaan bagi melaksanakan Kewajipan Perkhidmatan Sejagat (USO),” katanya dalam kenyataan.

Pos Malaysia berkata, jumlah bungkusan meningkat sebanyak 24.6 peratus tahun ke tahun, didorong oleh aktiviti e-dagang yang berterusan dan peningkatan bahagian pasaran, dengan pihak pengurusan terus mengutamakan peningkatan margin seiring dengan pertumbuhan volum. 

Jelasnya, meskipun mencatat momentum positif, segmen ini masih berdepan cabaran struktur berikutan penurunan berterusan dalam jumlah mel tradisional dan pengurangan kunjungan ke premis runcit disebabkan oleh penggunaan digital yang semakin pesat. 

Mengulas mengenai prospek 2026, kumpulan kekal fokus untuk memberikan nilai, melalui pelaksanaan berterusan rangka kerja transformasi yang merangkumi rasionalisasi rangkaian, pengembangan saluran digital dan pengurusan kos secara berdisiplin. 

“Persekitaran operasi dijangka terus mencabar di tengah-tengah tekanan struktur industri, dinamik persaingan, keperluan perubahan kawal selia serta ketidaktentuan geopolitik yang berlanjutan, termasuk perkembangan di Asia Barat yang mempengaruhi frekuensi penerbangan, kadar pengangkutan global, kos bahan api dan volum kargo udara,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN